Kesesakan Trafik Luar Biasa Di Sepanggar Susahkan Pengguna – Azis

azis.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kelemahan dan kepincangan sistem pengurusan trafik di Sepanggar menimbulkan kegusaran dalam kalangan pengguna jalan raya.

Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, kerja menaik taraf jalan yang sedang dilakukan menyebabkan kesesakan luar biasa di kawasan Sepanggar.

Maka, timbul persoalan adakah Kajian Impak Lalu Lintas (TIA) dilakukan bagi kerja-kerja menaik taraf jalan di Sepanggar?.

“Sekiranya ada, adakah ia telah disemak dan disahkan oleh pihak berwajib iaitu Kementerian Kerja Raya selaku pemilik projek atau Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sselaku pegawai penguasa dan oenasihat teknikal kepada kerajaan negeri dalam projek ini?.

“Adakah laporan TIA tersebut telah dikongsikan kepada rakyat atau pengguna jalan raya Sepanggar khasnya, sepertimana diamalkan di negeri lain?. Untuk makluman, TIA merupakan satu keperluan dan kaedah asas dalam kawalan perancangan dan pelaksanaan sesuatu projek pembangunan jalan raya.

“Seharusnya pihak kontraktor menyediakan pegawai pengurusan lalu lintas (TMO) bagi memberi informasi semasa kepada rakyat berkaitan pengurusan trafik untuk sesuatu projek naik taraf jalan.

“Ia tidak harus dirahsiakan atau sekadar catatan atas kertas bagi memenuhi dokumen perjanjian kontrak projek tersebut.

“TMO penting dan berperanan untuk mengenal pasti risiko semasa menguruskan trafik di tempat kerja supaya tidak membahayakan semua yang bekerja dan khasnya pengguna jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohd Azis, yang juga Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata, kaedah atau cara yang selalu digunakan bagi mengatasi masalah aliran trafik adalah dengan melakukan kerja pembaikan atau naik taraf pada waktu malam. Pada waktu malam aliran trafik agak rendah.

Sementara itu, bagi pekerja yang terlewat sampai ke pejabat disebabkan masalah kesesakan lalu lintas di Sepanggar, pihak majikan mereka diharap dapat bertimbang rasa dan tidak mengambil tindakan tatatertib.

Maka, beliau menyarankan pihak pemaju projek nak taraf jalan di Sepanggar agar memberi perhatian dan tindakan serius bagi membantu menangani kesusahan dan kesulitan dihadapi rakyat atau pengguna jalan raya di kawasan tersebut.

Jelas beliau, diharap fasa peralihan kepada endemik ini membawa sinar dan kelancaran kepada pelaksanaan projek menaik taraf jalan Sepanggar ini. Ia seharusnya disiap pada tahun ini seperti dijanjikan oleh kerajaan.

Menurutnya, sebelum ini beliau sudah beberapa kali menyuarakan isu kesesakan lalu lintas di Sepanggar susulan kerja-kerja menaik taraf yang dilakukan.

Namun, apa yang disuarakan ibarat ‘mencurah air ke daun keladi’ dan tidak diambil peduli serta tidak memberi kesan kepada pihak berkenaan.

Buktinya, banyak rungutan dan aduan rakyat mengenai masalah kesesakan lalu lintas di kawasan Sepanggar yang dilihat melalui laman media sosial.

Tambah beliau, kesesakan lalu lintas yang luar biasa juga telah menyebabkan ada pemandu yang terpaksa memotong barisan serta menggunakan laluan kecemasan di bahu kiri jalan.

Malah, difahamkan ada juga yang terpaksa menanggung kerugian kos tiket pengangkutan kerana terlepas penerbangan atau apa-apa pengangkutan lain. Dikhuatiri keadaan ini bertambah teruk menjelang cuti perayaan hari raya nanti.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top