Keserasian kepimpinan Sarawak, Sabah dengan Persekutuan harus diperkukuh – Ahmad Zahid

zahid.jpg

Ahmad Zahid berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berazam untuk memenuhi permintaan-permintaan kedua wilayah itu yang dibuat di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). - Facebook/Zahid Hamidi

Kongsi Bersama

BELAGA: Keserasian kepimpinan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan harus diperkukuh supaya dapat memberikan manfaat kepada rakyat Sarawak dan Sabah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berazam untuk memenuhi permintaan-permintaan kedua wilayah itu yang dibuat di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Jika tekanan-tekanan tidak sangat dikenakan tetapi berunding dengan sebaik-baiknya, saya amat yakin Perdana Menteri akan laksanakan mengikut kemampuan semasa kewangan negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Bersama Pemimpin di Rumah Brain Mering, Punan Ba di sini pada Isnin.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM4.2 juta bagi penggantian bateri untuk solar hibrid di Punan Ba dan RM62 juta bagi penyambungan bekalan elektrik luar bandar kawasan itu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pembinaan jalan utama dari Bintulu ke Punan Ba sejauh 20 kilometer akan diteliti kerajaan Persekutuan selain pembinaan loji rawatan air bernilai RM21.6 juta, pembinaan jambatan Bailey merentasi Sungai Punan Ba, pemasangan lampu jalan di kampung itu dan menaik taraf pejabat Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Belaga.

Timbalan Perdana Menteri juga berkata beliau akan berbincang dengan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkaitan usaha menaik taraf Jalan Jiwa Murni di Belaga sebagai jalan persekutuan bagi memberikan akses perhubungan lebih baik kepada penduduk di daerah itu.

Beliau turut menyeru rakyat Sarawak terus memberikan sokongan kepada kepimpinan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang telah membawa wilayah itu jauh ke hadapan khususnya dalam bidang teknologi.

“Ini bukan soal politik tetapi soal kestabilan negeri. Begitu juga di Sabah kita pun mengharapkan ada kestabilan,” katanya.

Sebelum itu, Ahmad Zahid turut merasmikan Projek Bekalan Solar Hibrid Punan Ba.- BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top