Kesejahteraan Kanak-Kanak Penting Diberi Tumpuan

IMG_20211107_184221.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kepentingan dan kesejahteraan kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama semua pihak di negeri ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, kementeriannya menghargai keprihatinan masyarakat dalam menjaga kepentingan dan kesejahteraan kanak-kanak yang juga merupakan golongan sasar di kementerian tersebut.

Jelasnya, kanak-kanak merupakan aset penting yang bakal mencorakkan masa depan negara.

“Dewasa ini banyak isu-isu yang melibatkan kanak-kanak di media sosial seperti kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan, jenayah yang melibatkan kanak-kanak dan kanak-kanak yang memerlukan perlindungan segera.

“Kementerian meminta ahli pasukan dan orang ramai untuk menjadi mata dan telinga kepada kementerian agar kejadian-kejadian sebegini dapat kita tangani.

“Kepentingan dan kesejahteraan kanak-kanak dalam segala aspek kehidupan adalah amat penting dan perlu diberi perhatian.

“Setiap lapisan masyarakat perlu peka terhadap keperluan kanak-kanak serta mewujudkan persekitaran yang harmoni dan penyayang” jelasnya.

Shahelmey berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sekalung Budi Sejambak Kasih Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak (PPKK) dan Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK) Negeri Sabah sesi 2021-2023 anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) semalam.

Shahelmey juga berharap agar PPKK dan PKKK akan dapat terus bergiat aktif dalam membantu kanak-kanak yang memerlukan bantuan dan perlindungan.

“Saya amat berharap agar setiap PPKK dan PKKK akan dapat menjalankan fungsi dan peranan masing-masing sebagai sebuah komuniti untuk membantu kementerian menggalas tanggungjawab dalam membantu kanak-kanak dapat diperkasakan.

Sebagai rekod, PPKK merupakan pasukan yang membantu kanak-kanak yang memerlukan perlindungan segera seperti mangsa rogol, mangsa penderaan dan lain-lain.

Manakala PKKK pula merupakan pasukan yang membantu kanak-kanak yang mempunyai masalah sosial seperti masalah ketagihan dadah, melakukan jenayah, lari dari rumah dan lain-lain.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top