Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Pangliima Dr Maximus Ongkili, nampak terdesak dalam cubaan menyelamatkan kerjaya politik dan masa depan partinya apabila ‘menyerang’ Presiden Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (STAR), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, selain menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan parti pembangkang, Warisan, kata Datuk Guan Dee Koh Hoi.
Setiausaha agung STAR itu berkata sikap “bermusuhan” Ongkili terhadap sesama anggota Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membuatkan orang tertanya-tanya apakah pertimbangannya masih logik “dan “apakah niatnya yang sebenar”.
“Nampaknya dia begitu terdesak untuk mengambil alih Parlimen Keningau dan DUN Tambunan dari tangan Kitingan sehingga dia sekarang bersedia mengambil jalan ‘sai lang’ (pertaruh segalanya) untuk cuba selamatkan karier politiknya dan masa depan PBS.
“Tindakan agresif Ongkili tidak masuk akal dan saya tertanya-tanya, apakah itu semua usaha terdesak yang melulu untuk cuba menghidupkan semula kekuatan PBS yang sokongannya semakin merudum,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Ongkili mengingatkan Kitingan supaya tidak mencetuskan sentimen untuk keuntungan politik sendiri selepas Kitingan mencadangkan agar Perlembagaan Persekutuan baharu digubal bagi menyelesaikan status Sabah dan Sarawak.
Pada Rabu lepas, Ongkili menyatakan PBS bersedia untuk bekerjasama dengan Warisan, menjawab kenyataan presiden parti itu Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal yang menyatakan keinginannya untuk menjalin kerjasama dengan PBS.
Guan Dee berkata Ongkili nampaknya “mencampakkan semua kerjasama antara PBS dan STAR” dan dengan berbuat demikian, “mengorbankan apa pun kesatuan yang masih ada” antara kedua-dua parti dalam GRS.
“Kebenaran tujuannya ini dapat disahkan dengan kesediaannya untuk bekerjasama dengan Warisan, satu parti yang bermain dengan idea mahu pula bekerjasama dengan UMNO,” katanya.
Guan Dee percaya tindakan Ongkili itu hanya menguntungkan parti STAR, kerana semakin ramai yang akan kecewa dengan PBS.
“Kita boleh nampak bahawa pendirian PBS ini bertentangan dengan aspirasi dan citarasa kebanyakan rakyat Sabah, terutama kaum Momogun (komuniti dalam Kadazan Dusun Murut),” katanya. – Berita Sabah