Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) menuntut Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Universiti Malaya (UM) menanggung kos ujian swab pelajar Sabah dan Sarawak yang mahu pulang ke kampung halaman.
Gesaan itu dibuat berikutan mereka terpaksa menanggung sendiri kos ujian ‘swab’ yang mencecah ratusan ringgit.
“Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), kos ujian ‘swab’ bagi mahasiswa Sabah dan Sarawak yang ingin pulang ke kampung halaman akan ditanggung oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sepenuhnya.
“Dalam konteks tersebut, mereka diwajibkan hadir ke klinik kesihatan di bawah seliaan KKM untuk melakukan ujian tersebut secara percuma.
“Namun begitu, kenyataan itu hanya indah khabar dari rupa apabila didapati bahawa Klinik Kesihatan Pelajar Universiti Malaya tidak menyediakan perkhidmatan ujian RT-PCR yang diwajibkan oleh kerajaan negeri,” kata KMUM dalam satu kenyataan.
KMUM juga berkata, masalah itu juga menyebabkan pelajar Sabah dan Sarawak Universiti Malaya yang mahu pulang sempena cuti semester, sesi 2020/2021 terpaksa pergi ke hospital kerajaan tertentu.
Katanya, bagaimanapun keputusan ujian ‘swab’ tidak dapat dikeluarkan dalam tempoh yang ditetapkan dalam panduan pergerakan, iaitu sama ada 3 atau 5 hari sebelum tarikh penerbangan.
“Justeru, mahasiswa Sabah dan Sarawak yang telah membeli tiket penerbangan hanya boleh menjalani ujian ‘swab’ di klinik atau hospital swasta dan menanggung kos tersebut.
“Keadaan tersebut telah membebankan mahasiswa Sabah dan Sarawak terutamanya golongan B40 dan M40 kerana mereka perlu menanggung kos tiket penerbangan yang mahal serta kos ujian ‘swab’ agar dapat kembali ke rumah masing-masing,” katanya.
KMUM berkata, mereka telah mengambil inisiatif untuk menawarkan subsidi kepada para mahasiswa Sarawak dan Sabah yang berkeperluan untuk mengurangkan beban mereka.
Katanya, tanggungjawab memberi subsidi sepatutnya dilaksanakan oleh pihak Universiti Malaya dan bukan hanya berdiam diri memeluk tubuh membiarkan kebajikan golongan ini terabai kerana mereka juga merupakan mahasiswa dan mahasiswi Universiti Malaya.
Jelas KMUM lagi, KPT dan Universiti Malaya perlu bertanggungjawab dalam kegagalan menjaga kebajikan pelajar Sabah dan Sarawak dengan perancangan pergerakan pelajar yang tidak efisien dan membebankan. – FMT