Kes Tuntutan Kumpulan Sulu: Azalina Wakili Malaysia Ke Eropah

azalina.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said akan menjadi wakil kerajaan ke Eropah termasuk Perancis bagi mengendalikan kes tuntutan kumpulan Sulu membabitkan beberapa aset milik Malaysia.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, beliau juga mungkin turut serta dalam pengendalian kes itu bersama Azalina dalam masa terdekat.

Zambry berkata, ia merupakan antara langkah ke hadapan Malaysia susulan kumpulan yang mendakwa sebagai waris kesultanan Sulu itu dilihat mengambil kesempatan menggunakan kepakaran mereka dalam melaksanakan tuntutan seolah-olah ‘forum shopping’ iaitu dari satu mahkamah ke mahkamah lain.

“Umpamanya bermula di Mahkamah Sepanyol, mereka kalah kemudian pergi ke negara lain seperti Perancis, kemudian ke Luxemborg dan selepas itu ke mana-mana negara yang mereka rasakan ada kemungkinan dan kebarangkalian untuk mereka dapat kemenangan dalam kes ini (tuntutan Sulu).

“Kes terbaharu, mereka mendapat bailif di Perancis… tanpa memeriksa kesahihan tindakan itu sehingga ke satu peringkat, pergi memeriksa harta benda Kedutaan Malaysia termasuk bangunan dan rumah kita,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 bagi peringkat dasar di Dewan Rakyat pada Khamis.

Zambry berkata, kerajaan telah menghantar nota bantahan berkaitan perkara itu kepada Kedutaan Perancis di Malaysia untuk menyatakan bahawa mereka tidak boleh berbuat demikian kerana semua kawasan kedutaan adalah tertakluk kepada Konvensyen Vienna.

“… Akhirnya, mereka tahu akan kesilapan mereka dan mereka keluar,” katanya.

Pada Selasa lepas, media asing melaporkan bailif Perancis cuba menguatkuasakan perintah rampasan ke atas tiga hartanah di Paris yang dimiliki oleh Kerajaan Malaysia susulan permohonan kumpulan itu berkaitan penganugerahan pampasan sebanyak AS$15 bilion (RM66 bilion) yang mereka peroleh terhadap Malaysia.

Mengenai kesahihan Perjanjian 1878, Zambry berkata, Sekretariat Khas Sulu yang diketuai Azalina sedang menyiasat perkara itu dengan mengunjungi arkib-arkib serta kawasan berkaitan seperti London, Filipina dan Malaysia.

“Soalnya sekarang yang penting sekali ialah mereka yang menyebut diri sebagai ‘penuntut,’ adakah benar-benar penuntut atau tidak, atau mereka benar-benar waris? Ini yang kita perbahaskan dan telahpun membuat proses perundangan untuk mencabar kesahihan itu,” katanya.

Penuntut terbabit sebelum ini dilapor telah memfailkan tindakan undang-undang melalui Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan bagi tanah di Sabah yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada tahun 1878.

Mereka membawa perkara itu untuk timbang tara di Sepanyol pada 2019 dan penimbang tara Dr Gonzalo Stampa yang dilantik oleh kumpulan tersebut telah membuat keputusan yang memihak kepada pihak yang menuntut.

Keputusan itu kemudian digunakan untuk merampas aset Petronas di Luxembourg.

Malaysia telah menggunakan semua remedi undang-undang bagi membatalkan dua anugerah yang diberikan oleh Stampa kepada pihak yang menuntut. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top