Kes dadah terbesar di Sabah: Mekanik dijatuhi hukuman mati

dadah.jpg

Tai Chee Khiong dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi hari ini. - Gambar/ Bernama

Kongsi Bersama

TAWAU: Seorang mekanik lelaki dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana mengedar dadah jenis syabu seberat 199,950.1 gram tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Lim Hock Leng menjatuhkan hukuman itu terhadap Tai Chee Khiong, 51, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya Lim berkata walaupun kesalahan pertama tertuduh, kes itu merupakan tangkapan melibatkan jumlah dadah terbesar di Sabah.

Beliau berkata jumlah dadah dalam kes itu melebihi jumlah terkumpul dalam kesemua lima kes dadah yang dibicarakan di mahkamah berkenaan sepanjang tiga tahun lepas.

“Tertuduh tidak menunjukkan sebarang penyesalan dan tidak memberi respons begitu juga peguam bela, meskipun diberi peluang oleh mahkamah untuk menyatakan sesuatu sebelum dijatuhi hukuman,” katanya.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Hurman Hussain dalam hujahnya memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman mati dikenakan mengambil kira jumlah dadah terlibat dan kepentingan awam.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengedar dadah itu di Kampung Batu Payung di sini pada 7.30 pagi 6 Sept 2021.

Tai dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati perlu dihukum dengan sebatan tidak kurang 15 sebatan.

Dia telah didakwa pada 13 Okt 2021 dan seramai lima saksi pendakwaan dan hanya tertuduh dipanggil sebagai saksi pembelaan telah memberikan keterangan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Hurman dan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suriana manakala tertuduh diwakili peguam Darmin Achok.

Keputusan hukuman mati di Mahkamah Tinggi Tawau ini merupakan kali pertama selepas Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dikuatkuasakan pada 4 Julai tahun lepas.- BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top