KOTA KINABALU: Jumlah kes baharu di Sabah dijangka bertambah selepas sambutan Aidilfitri dan Pesta Kaamatan berdasarkan maklumat daripada Kementerian Kesihatan (KKM), kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.
Beliau berkata peningkatan kes Covid-19 boleh dikurangkan jika orang ramai mengamalkan sikap bertanggungjawab semasa menyambut kedua-dua perayaan berkenaan.
“Patuhi semua saranan KKM termasuk penggunaan pelitup muka walaupun tidak lagi mandatori di ruang terbuka. Data kajian dalam beberapa bulan ini menunjukkan majoriti kes baharu di Sabah berpunca daripada jangkitan sporadik.
“Atas sebab inilah kita amat menyarankan agar orang ramai terus menggunakan pelitup muka semasa berada di khalayak ramai seperti majlis-majlis sambutan dan perayaan,” katanya dalam kenyataan pada semalam.
Beliau berkata situasi Covid-19 di Sabah pada Selasa kekal terkawal dengan hanya 12 jangkitan baharu, susut dua kes berbanding angka hari sebelumnya.
“Tidak ada jangkitan baharu dilaporkan di 22 daripada 27 daerah di Sabah sepanjang 24 jam lepas,” katanya.