Kes bunuh pemandu e-hailing di Tawau: Kasut merah jambu ditemukan dalam kereta Myvi putih

kes-bunuh-tawau-1.jpg

Gambar fail BERNAMA

Kongsi Bersama

TAWAU: Seorang pegawai polis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam bahawa sepasang kasut kanak-kanak berwarna merah jambu antara barang ditemukan dalam sebuah kereta Perodua Myvi berwarna putih yang diperiksanya, pada 17 Jan tahun lepas.

Insp Saizul Farhan Mahali, 38, yang bertugas sebagai Pegawai Siasatan Tempat Kejadian, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah berkata selain kasut itu yang ditemukan di bawah tempat duduk penumpang belakang sebelah kiri kenderaan, turut djumpai dalam kereta berkenaan ialah cermin mata hitam dan sehelai tuala berwarna kelabu.

Menurut saksi pendakwaan ke-21 itu, beliau menjalankan pemeriksaan pada kenderaan terbabit selepas dimaklumkan oleh Pegawai Penyiasat ASP Yusman Shahri Marinsah berkaitan penemuan satu mayat lelaki di Jalan Anjur Juara Batu 5, Jalan Apas, Tawau.

Pada prosiding sebelum ini, Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin memberitahu mahkamah bahawa beliau melihat keadaan mayat (Nurman) dalam kedudukan terlentang di sebelah kiri kereta Myvi berwarna putih.

Menurut Jasmin yang merupakan saksi pendakwaan kelapan, beliau ke lokasi kejadian (ladang kelapa sawit) pada 16 Jan 2023.

Sementara itu, Saizul Farhan berkata beliau dan pasukan bertolak ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada 17 Jan 2023, 7 pagi dan tiba pada 4 petang dan telah pergi ke tempat letak kereta IPD Tawau dan mendapati sebuah kenderaan telah dipasang pita rintangan polis.

“Kenderaan itu adalah Myvi berwarna putih nombor pendaftaran SAA7841W. Saya dimaklumkan oleh ASP Yusman bahawa kereta itu telah ditarik dari tempat kejadian hingga ke IPD Tawau manakala mayat telah dibawa ke Hospital Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya pada hari ketujuh perbicaraan kes bunuh pemandu e-hailing Nurman Bakaratu membabitkan lapan tertuduh iaitu bekas Ketua Staf Perisikan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) Datuk Mat Zaki Md Zain, enam anggota polis dan seorang awam.

Rosdi Rastam, 45, Denis Anit, 45, Fabian Rungam, 44, Khairul Azman Bakar, 47, Mohd Azlan Sakaran, 40, John Kennedy Sanggah, 44, dan Vivien Fabian, 34, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5 di sini, antara 7.30 hingga 11.30 malam pada 13 Januari tahun lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mat Zaki, 59, pula berdepan dua pertuduhan iaitu bersubahat membunuh Nurman, 61, mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Lina Hanini Ismail, Saizul Farhan berkata pada hari berkenaan (17 Jan), beliau turut membuat swab darah pada pemegang pintu sebelah dalam bahagian pemandu kereta Myvi itu dan tempat duduk penumpang hadapan sebelah pemandu.

Katanya beliau juga membuat swab asid deoksiribonukleik (DNA) pada bahagian stereng kereta, kepala gear, pemegang brek tangan serta pembuka dan pemegang pintu kiri bahagian depan sebelah pemandu.

Menurut Saizul Farhan, pada 25 Jan 2023, beliau diarahkan sekali lagi untuk memeriksa kereta berkenaan dan mengambil selipar berwarna hitam sebelah kanan di bawah tempat duduk pemandu, satu botol air mineral, topi dalam poket tempat duduk penumpang belakang sebelah kiri, kesan cap jari pada permukaan cermin pintu sebelah dalam tempat duduk penumpang hadapan dan kesan cap jari pada bahagian bingkai pintu kereta selain merakam gambar keseluruhan bahagian kenderaan itu.

“Kesemua barang kes yang diambil diserahkan kepada pegawai penyiasat,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol bersambung hari ini.

Sumber: BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top