Kes Baharu Covid-19: Sabah Kembali Rekod Tiga Angka

covid-19.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sabah kembali merekodkan kes baharu COVID-19 tiga angka dengan sebanyak 172 kes, meningkat 90 kes pada Rabu berbanding 82 kes yang direkodkan pada hari sebelumnya.

Pada Rabu juga Sabah merekodkan bilangan kematian disebabkan COVID-19 tertinggi dengan enam kematian, masing-masing empat di Tawau dan dua di Lahad Datu.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata daerah Kota Kinabalu kembali mencatat kes baharu tertinggi, berbanding daerah lain dengan sebanyak 82 kes dilaporkan.

Katanya, daerah Tawau juga masih mencatat kes baharu yang tinggi dengan sebanyak 42 kes, diikuti Lahad Datu (15 kes) dan masing-masing enam kes di Sandakan dan Putatan.

Dalam perkongsian di akaun Twitter beliau pada Rabu, Masidi berkata, peningkatan mendadak kes baharu COVID-19 di ibu negeri berpunca daripada kes positif yang dikesan di Kluster Jalan Khidmat yang membabitkan pelajar dan warga Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kota Kinabalu. Sekolah itu kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Masidi berkata, sebanyak 90 kes atau 52.3 peratus daripada jumlah kes baharu COVID-19 ada Rabu berpunca daripada kluster sedia ada, diikuti 53 kes (30.8 peratus) menerusi saringan kontak rapat dan 14 kes menerusi saringan bergejala.

Bagi pesakit sembuh, katanya, seramai 70 orang dibenarkan keluar hospital , manakala seramai 1,019 orang masih dirawat termasuk 80 orang dalam unit rawatan rapi (ICU) dengan 18 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata kerajaan negeri bersetuju untuk melaksanakan PKPD di tiga taman perumahan di Lahad Datu bermula hari ini (Khamis) hingga 5 Mei depan.

PKPD itu, katanya berikutan kes tinggi direkodkan di ketiga-tiga lokaliti iaitu Taman Aman 3 (24 kes), Taman Aman Jaya (10 kes) dan Taman Palm Height (11 kes).

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top