KOTA KINABALU: Seorang pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah berharap baki 5 jawatan Kabinet negeri akan diagihkan sewajarnya antara parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ketua Pemuda BN Sabah Ir. Abdul Aziz Julkarnain berkata: “Kami berharap ini agihan ‘menang-menang’ supaya semua orang dapat bekerja sama dengan selesa.
“Rakyat mengharapkan kerajaan baharu lebih fokus dan berusaha menghidupkan semula ekonomi ketika tempoh mencabar ini dan memenuhi semua janji dibuat semasa kempen pilihan raya.”
Sehingga kini, ketua menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, menamakan 6 menteri daripada 11 portfolio negeri.
Dilaporkan, 5 menteri lagi akan dilantik di depan Yang di-Pertua Sabah hari ini walaupun belum ada pengumuman rasmi mengenai upacara itu.
Ditanya adakah Umno menjangka mendapat lebih banyak jawatan selepas parti itu menyerahkan jawatan ketua menteri kepada PN, Aziz yang juga ketua Pemuda Umno Sabah berkata: “Jumlah itu sudah dipersetujui.
“Saya hanya berharap kerajaan sekarang akan mempertimbangkan wakil daripada MCA atau SAPP untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan,” katanya.
Sementara itu, sumber mendakwa Umno Sabah akan mendapat sekurang-kurangnya 3 daripada 5 jawatan menteri yang masih ada, dengan Bung Moktar Radin dikatakan ingin mendesak untuk mendapatkan muka baharu.
Semua pihak juga tertanya-tanya apakah Hajiji akan menamakan pemimpin Cina ke salah satu jawatan menteri, walaupun semua calon GRS daripada masyarakat itu kalah dalam pilihan raya negeri.