KOTA KINABALU: Kenyataan media Naib Ketua Pemuda Pusat Parti Bersatu Sabah (PBS), Shahrun Nidzam Sharoom mengenai kerjasama antara PBS dan Parti Warisan Sabah (Warisan) semalam hanya pandangan peribadi beliau serta bukan melambangkan pandangan parti.
Ketua Pemuda PBS, Christoper Mandut (gambar) berkata, Pemuda PBS menghormati pandangan Shahrun sebagai ahli parti dan juga semua ahli parti tetapi keputusan tentang kerjasama bersama parti lain akan ditentukan kepimpinan tertinggi parti dan Presiden.
“Pemuda PBS percaya kepada kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor serta menteri kabinet tentang hala tuju untuk menuntut hak-hak Sabah.
“Pemuda secara konsisten akan berdiri teguh di belakang Presiden PBS dan akan mematuhi segala hala tuju parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” kata Christoper dalam satu kenyataan media semalam.
Beliau menegaskan Pemuda PBS juga tidak akan membiarkan pandangan ahli ini menganggu gugat “kesatuan kita dlm GRS.”
“Pemuda yakin dengan kebijiksanaan presiden parti dalam menentukan sebarang kerjasama,” katanya.
Christoper berkata, segala bentuk kerjasama antara GRS dan BN harus berada di landasan menang-menang supaya ikatan serta kerjasama ini hormani sekali gus dihormati oleh penyokong kedua-dua gabungan.
Shahrun dalam kenyataannya kelmarin berkata, kerjasama PBS dan Warisan boleh dipertimbangkan. –SABAH NEWS TODAY