KOTA KINABALU: Walaupun sukar untuk merealisaskan hasrat kerjasama parti tempatan namun, perkara itu tidak mustahil untuk dilakukan.
Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, kerjasama parti-parti tempatan di Sabah boleh dilakukan namun, ia memerlukan masa.
“Ia mengambil masa, memang tidak mudah kerana kita bukan hanya berdepan tekanan yang datang dari seberang. Sangat banyak dugaan yang datang.
“Apabila kita bagitau mahu kerjasama, dalam parti kita pun ada wakil rakyat yang dibeli, bukan mudah,” katanya semasa sidang media selepas walkabout di Pasar Foh Sang pada Sabtu.
Dalam membentuk kerjasama parti tempatan, Warisan sudah menyatakan secara jelas ingin kerjasama dengan Parti Bersatu Sabah (PBS). Sekiranya PBS tidak mahu, mereka juga tidak akan paksa.
“Kita hanya mahu supaya suara Sabah, suara rakyat Malaysia yang berada di Sabah dapat dipertahankan dan hak-hak Sabah juga dipertahankan,” jelasnya.
Menurutnya, UMNO sudah memerintah 60 tahun dan Pakatan Harapan (PH) pun sudah memerintah selama dua tahun tetapi, tuntutan hak-hak Sabah masih belum dapat dilaksanakan sepenuhnya.
Justeru itu, jika Warisan tidak memulakan langkah mewujudkan kerjasama parti tempatan daripada sekarang, sampai bila harus menunggu.
“Mungkin hasrat itu tidak mampu direalisasikan semasa zaman saya tapi, saya buat ini demi generasi akan datang.
“Kita kena mulakan perjuangan ini daripada sekarang. Negara ini adalah negara berbilang bangsa. Jangan pula kata jika undi UMNO, hidup melayu..mahu undi DAP, hidup Cina, mahu undi PAS, hidup Islam.
“Kita tidak harus membabitkan bangsa dan agama. Ini bukan caranya untuk kita mahu ke hadapan. Kita perlu menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa ini. Kita perlu lakukan reform dalam politik negara,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, negara ini memerlukan kepimpinan baharu jika mahu melihat perubahan berlaku dalam pemerintahan negara.
Jelasnya, negara ini memerlukan satu dasar yang cukup jelas bukan hanya dalam jangka pendek tetapi juga, jangka panjang demi kestabilan politik.
“Kita memerlukan kepimpinan yang punya keupayaan untuk mentadbir urus kewangan negara dengan baik. Ketika ini, bukan hanya ekonomi negara merosot tapi, rakyat semakin berdepan pelbagai masalah,” tambahnya.