Kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Sabah perlu bagi bangunkan pendidikan negeri

hajiji-mapen.jpg

Kredit foto: FB Hajiji Haji Noor

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerjasama kukuh antara Kerajaan Persekutuan dan Sabah, penting dalam usaha membangunkan sistem pendidikan yang berdepan pelbagai isu di negeri itu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata melalui kerjasama itu, Kerajaan Persekutuan diharap mampu memainkan peranan menggerakkan pembangunan sistem pendidikan di Sabah dan kerajaan negeri akan bersama-sama membantunya.

Katanya isu sistem pendidikan di Sabah antaranya sekolah daif, kekurangan guru dan guru gagal hadir, tidak sepatutnya menjadi polemik yang berterusan, sebaliknya semua pihak perlu fokus bagi membangun sistem pendidikan terbaik, untuk anak-anak Negeri di Bawah Bayu itu.

“Isu-isu ini tidak menggambarkan secara keseluruhan khidmat cemerlang, khususnya diberikan guru untuk anak-anak kita di Sabah, kalau ada sedikit kekurangan itu tidak dapat dielakkan, tetapi jangan lah itu dijadikan isu.

“Ini kita mahukan Kerajaan Persekutuan kuat bangunkan pendidikan di Sabah dan kerajaan negeri bantu supaya anak-anak kita pandai dan cemerlang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah Sabah 2023 di sini pada Khamis.

Pada majlis yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Raisin Saidi seramai 48 orang warga jabatan itu menerima penghargaan atas perkhidmatan cemerlang mereka.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis itu Hajiji berkata kerajaan negeri memperuntukkan bajet yang besar, bagi memastikan rakyat Sabah mendapat pendidikan yang sempurna antaranya RM12 juta untuk membantu 1,600 sekolah di Sabah, melalui program Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (Bisbah).

Beliau berkata sebanyak RM4 juta diperuntukkan bagi Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (Balkis) yang diperkenalkan tahun ini, untuk membantu membaiki kerosakan dan menyelenggara yang melibatkan kos di bawah RM50,000 serta ke bawah.

Hajiji berkata bagi memperkasa Pendidikan STEM di negeri Sabah, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM250,000 bagi Program STEM FIESTA, dan pembinaan Pusat Sains, Teknologi dan Inovasi (Pusat STI) di Perpustakaan Keningau dengan kos RM3 juta dijangka siap penghujung tahun ini.

“Di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) (Sabah), kerajaan juga merancang melaksanakan projek berimpak tinggi iaitu pembinaan Pusat Sains Sabah di Kota Kinabalu. Manakala pembinaan Pusat STI di Tawau dan Sandakan bernilai lebih RM10.2 juta daripada Petronas”, katanya.

Hajiji berkata kerajaan melalui KSTI juga memberikan dana sebanyak RM320,000 untuk pewujudan 16 buah sudut sains di sekolah rendah, termasuklah memberi sumbangan bagi membaik pulih 14 makmal sains sekolah menengah pada tahun ini, dengan peruntukan sebanyak RM280,000.– BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top