Kerjasama kerajaan, NGO perjelaskan Gagasan Malaysia Madani, SMJ

hajiji-n-sapawi.jpg

DSP Hajiji dan Datuk Sapawi Ahmad

Kongsi Bersama

TAWAU: Kerjasama antara kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu diteruskan dalam memberi penjelasan kepada rakyat berkaitan Gagasan Malaysia MADANI serta Konsep Sabah Maju Jaya (SMJ) yang terkandung dalam Pelan Pembangunan SMJ.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata misalnya, Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) yang ;aktif dalam pelbagai bidang khususnya dakwah, sosial serta kerja amal, sejak dahulu lagi konsisten dengan tanggungjawab dalam membantu kerajaan memelihara keharmonian dan meningkatkan kesejahteraan penduduk.

“Hal ini antara sebab saya menyarankan agar USIA mengadakan kerjasama atau kolaborasi dengan Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (TSKN) (Tugas-Tugas Khas) untuk mengadakan forum bagi memberi penjelasan mengenai Gagasan Malaysia MADANI dan dasar SMJ, kerjasama dan kolaborasi seperti ini harus diteruskan.

“Kerjasama diadakan ini bukan hanya antara USIA dan Pejabat TSKN (Tugas-Tugas Khas) sahaja, bahkan antara kementerian atau jabatan lain bersama mana-mana NGO demi kebaikan dan kepentingan masyarakat serta rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penangguhan Forum Malaysia MADANI: Keharmonian Dalam Kepelbagaian dan Pelaksanaan Warm2Care Zon Tawau serta upacara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara USIA dan Institut Kemahiran Islam Darul Ridzuan (IKDAR) di sini semalam.

Hajiji berkata Gagasan Malaysia MADANI dan Pelan Pembangunan SMJ menjurus kepada matlamat untuk mencipta kemakmuran dan kesejahteraan demi kebajikan serta kebahagiaan seluruh rakyat, namun dalam konteks pelan SMJ masih terdapat segelintir individu cuba memperkecilkan atau memperlekehkan slogan Sabah Maju Jaya yang dipinjam daripada Jata Sabah.

“Pada saya, mereka yang cuba memperlekehkan cogan kata Sabah Maju Jaya, samalah seperti memperlekehkan usaha dan perjuangan pemimpin serta pejuang masa silam. Perlu diingat, bahawa Gagasan Malaysia MADANI dan hala tuju SMJ bukan suatu retorik kerana kedua-dua konsep telah dirangka dengan teliti demi mencapai kemajuan yang hakiki untuk Malaysia dan Sabah.

“Bukti kejayaan kita melalui Pelan Pembangunan SMJ ialah pencapaian dalam sektor pembangunan ekonomi apabila perdagangan Sabah mencapai rekod tertinggi dalam sejarah pada tahun lepas iaitu bernilai RM118.1 bilion berbanding RM 87.2 billion pada 2021.

“Peningkatan sebanyak 35.4 peratus ini disebabkan pertumbuhan ekonomi yang positif sejak kebelakangan ini,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua USIA Datuk Sapawi Ahmad berkata MoU itu membolehkan IKDAR melaksanakan pengoperasian Pusat Latihan Dakwah USIA-AlBukhary di Kampung Marasinsim, Kota Marudu.

Beliau berkata IKDAR ialah institusi pengajian tinggi pertama di Malaysia yang ditubuhkan bagi memperkasakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada pelajar lepasan Maahad Tahfiz al-Quran hingga ke peringkat Diploma dan Ijazah.

“Pembinaan Pusat Latihan Dakwah Kampung Marasinsim, Kota Marudu ini tertangguh sejak 2015 dan kerja-kerja pembinaan pusat latihan dakwah yang terbengkalai ini diberikan perhatian khusus oleh pengurusan baharu USIA,” katanya. – BERNAMA

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top