Kerjasama, Ikhlas Laksanakan Pelan Pembangunan SMJ

Hajiji-Tun-Jauhar.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU:   Semua pihak digesa bekerjasama dan ikhlas dalam melaksanakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (Pelan Pembangunan SMJ 1.0: 2021-2025).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pihaknya bersama  rakan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan memberikan yang terbaik untuk pembangunan serta kesejahteraan negeri dan rakyat.

“Saya memohon kerjasama semua pihak untuk menjalankan tanggungjawab seikhlasnya.  Jika tanggungjawab ini digalas dengan telus, kepercayaan kepada Kerajaan Negeri akan sentiasa tersemat di hati rakyat dalam melaksanakan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (Pelan Pembangunan SMJ 1.0: 2021-2025).

“Sempena setahun kerajaan GRS yang disambut baru-baru ini, saya dan rakan GRS komited untuk memberikan yang terbaik demi kemajuan, pembangunan serta kesejahteraan rakyat dan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santapan Negeri Sempena Hari Jadi Rasmi Ke-68 Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) disini semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Hari Jadi Rasmi TYT Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong dan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Dr Zulkapli Mohammed.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyat selain memahami keluhan dan masalah yang dihadapi oleh rakyat seperti kehilangan ahli keluarga tersayang, perniagaan terjejas, kehilangan pekerjaan dan punca mata pencarian.

“Kerajaan juga telah menghulurkan pelbagai bantuan prihatin kepada rakyat iaitu antaranya Pakej Bantuan Sabah Prihatin (BSP) yang menyasarkan bantuan tunai one-off yang disalurkan secara langsung kepada rakyat yang terjejas pendapatan.

“Kerajaan juga prihatin terhadap mereka yang terjejas teruk akibat banjir lumpur dan tanah runtuh baru-baru ini di Kampung Sugud, Penampang. Kerajaan Negeri juga amat berbangga dan ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menghulurkan derma dan bantuan kepada mangsa termasuklah sumbangan dari Yayasan Nur Juhar.

“Ini jelas menunjukkan bahawa semangat kekitaan dan bersatu padu tersemai dalam kalangan rakyat Negeri Sabah.  malah, ungkapan “Kita Jaga Kita”, biarlah kita gunakan, bukan sahaja untuk pandemik ini tapi untuk semua amalan permuafakatan kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru seluruh rakyat Sabah agar sepakat membangunkan negeri tanpa mengira fahaman politik, bangsa dan agama.

“Negeri Sabah yang diberkati dengan pelbagai kaum etnik adalah satu kebanggaan untuk kita terus bersatu padu, saling hormat menghormati dan faham memahami.

“Kerajaan Negeri sentiasa mengutamakan perpaduan kerana perpaduan adalah tunjang kepada kesejahteraan hidup rakyat.  Sabah juga berada dalam keadaan yang aman damai, harmoni serta sejahtera, di bawah naungan Tuan Yang Terutama Tun,” katanya.

Pada majlis itu, Tun Juhar dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni diiringi Hajiji dan isteri, Datin Seri Panglima Julia Salag dan Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya serta para tetamu kenamaan memotong kek hari jadi. – PENERANGAN/Sabah Media


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top