KOTA KINABALU: Kerjasama yang terjalin antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan perpaduan di Sabah akan dikekalkan pada pilihan raya akan datang.
Pengerusi GRS, yang juga Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, tidak timbul isu GRS menolak kerjasama dengan parti nasional dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.
Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu berkata, perkara berkaitan kerjasama pada pilihan raya perlu dibincangkan secara mendalam antara tujuh parti yang menganggotai GRS.
“Tetapi, saya ingin menyatakan bahawa pilihan raya akan datang, kita adalah dalam kerajaan perpaduan termasuklah PH di Sabah.
“Kita tidak boleh berpisah dengan rakan-rakan kita sama ada PH mahupun Barisan Nasional (BN) kerana kita mahu membangunkan Sabah dan rakyat kita. Jadi, jangan terlampau berpolitik sana-sini,” katanya selepas majlis apresiasi pengurusan sekolah 2023 di sini kelmarin.
Menurut Hajiji, GRS merupakan gabungan yang melibatkan tujuh parti tempatan dan perkara berkaitan kerjasama menjelang pilihan raya belum lagi dibincangkan kerana pilihan raya akan diadakan dalam tempoh dua tahun lagi.
Pada masa ini, kerajaan yang diterajui oleh GRS mahu memberi fokus kepada usaha membangunkan negeri dan menyelesaikan masalah rakyat seperti masalah bekalan air dan elektrik, itu lebih utama.
Mengulas lanjut katanya, beliau ingin menegaskan bahawa kerajaan negeri hari ini adalah kerajaan yang diterajui oleh GRS dan PH.
“Maka, kita amat berterima kasih kepada PH,” katanya.