KOTA KINABALU: Kerjasama dalam Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) perlu dikekalkan demi kepentingan Sabah, kata Ketua Penerangan GRS Datuk Joniston Bangkuai.
Beliau berkata memandangkan hasil yang positif daripada kerjasama itu maka tiada sebab ia ditamatkan.
“Kerajaan ini terdiri daripada parti tempatan dan PH, kedua-duanya menyatakan keselesaan mereka untuk bekerjasama.
“Jika kerajaan menunjukkan prestasi yang baik dan kerjasama yang kukuh, maka saya percaya tiada sebab untuk menamatkannya,” kata beliau sebagaimana dilaporkan NST.
“Jika ia memberi manfaat kepada rakyat, kenapa kita perlu mengubahnya? Memandangkan kita menghampiri pilihan raya akan datang (PRN17), kita berharap kerjasama ini akan diteruskan.
“Kita perlu tunjukkan kepada rakyat bahawa kerajaan GRS-PH ini berfungsi dengan berkesan,” tambah beliau.
Bangkuai dilaporkan berkata demikian kepada media selepas melancarkan Pesta Pantai Tanjung Aru ke-4 di Prince Phillip Park di sini.
Terdahulu Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sindumin berkata Sabah belum dapat mengikuti langkah Sarawak dalam membentuk kerjasama politik yang hanya melibatkan parti tempatan untuk menghadapi PRN akan datang sebaliknya masih memerlukan kerjasama parti nasional.
Joniston menambah bahawa kerjasama semasa, di mana parti tempatan dominan, berjalan lancar.
“Saya percaya akan ada perbincangan tentang bagaimana kita boleh bergerak ke hadapan, tetapi saya fikir mesej Ketua Menteri adalah jelas. Kita harus mengekalkan kerajaan sedia ada dan meneruskan kerjasama kita, terutama ketika kita menghampiri pilihan raya akan datang,” tambahnya.