KOTA KINABALU: Hubungan kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan negeri berjalan dengan baik, tegas Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada Jumaat.
“Kami sepakat memberi fokus kepada usaha memulihkan ekonomi Sabah dan memacu pembangunan negeri,” kata Hajiji kepada wartawan selepas membentangkan Belanjawan Sabah 2023 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di Kota Kinabalu.
Sebaik Hajiji, yang juga Ketua Menteri Sabah, membentangkan belanjawan bertemakan ‘Ekonomi Diperkasa, Rakyat Sejahtera’ itu, Bung Moktar bingkas bangun untuk menyokong usul belanjawan berkenaan.
Sementara itu, ditanya kenyataan beliau bahawa GRS mengisytihar ‘perang’ kerana menyokong calon perdana menteri Malaysia tanpa perbincangan dengan BN Sabah, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata ia hanyalah luahan peribadi dan mengakui sedikit emosi ketika itu.
“Politik memang begitu. Kadangkala anda perlu menempuh sesuatu,” katanya sambil menegaskan tiada perselisihan berlaku di antara GRS dan BN Sabah.
Sebelum ini, Bung Moktar dilaporkan berkata tindakan GRS menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri Malaysia melanggar perjanjian kerjasama dua parti itu dan mendakwa ia merupakan ‘pengisytiharan perang’ kepada BN Sabah.
GRS dianggotai BERSATU, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) menjalin kerjasama dengan BN Sabah yang terdiri daripada UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) bagi mentadbir wilayah itu.
Bung Moktar berkata, pemimpin BN Sabah sentiasa berjiwa besar demi menjamin keharmonian serta kestabilan politik di Negeri Di Bawah Bayu itu.- BERNAMA