Kerjasama GRS-BN Mampu Bentuk Kerajaan Persekutuan Yang Stabil, Kata Penganalisis

BN-GRS.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Penganalisis politik tempatan berpendapat kesepakatan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-BN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mampu menyumbang kepada pembentukan kerajaan Persekutuan yang lebih stabil sekali gus mengukuhkan suara rakyat dari Sabah.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Sabah, Tony Paridi Bagang berkata, kerjasama politik GRS-BN sudah terbukti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lepas dan rakyat mahu melihat kesinambungan kerjasama itu kekal harmoni pada PRU15.

Justeru katanya, kerjasama GRS-BN itu perlu diteruskan sebagai strategi untuk menang selain mengelak berlaku pertembungan calon sesama sendiri sehingga menyebabkan perpecahan undi.

“Cabaran utama ialah pengagihan kerusi dalam kalangan komponen parti GRS dan juga BN, saya tidak menolak kemungkinan ada berlakunya pertembungan antara calon kedua-dua parti itu.

“Perpecahan undi itu akan menyebabkan parti lain menang bukan atas dasar populariti, tetapi kelebihan undi kesan daripada perpecahan undi dalam kalangan parti (GRS-BN) yang bersaing dan gagal bekerjasama itu,” katanya.

Pengkaji Kumpulan Penyelidik Kajian Geopolitik dan Elektoral Sabah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Ramli Dollah pula berpendapat, kerjasama GRS-BN pada PRU15 bukan mustahil kerana autonomi parti politik dan keunikan politik Sabah, walaupun dilihat tidak selari dengan konteks politik nasional di Semenanjung.

Beliau berkata, dengan gabungan kerjasama besar seperti itu, kerajaan Persekutuan akan lebih mendengar suara Sabah dalam memperjuangkan hak negeri, selain proses tawar-menawar lebih berkesan sekiranya semua ahli Parlimen Sabah bercakap dalam satu landasan mengenai isu sama.

Bagaimanapun, Ramli berkata, cabaran bagi memastikan kerjasama itu kekal utuh terutamanya selepas keputusan PRU15 kelak perlu diteliti dan dihadapi dengan penuh hati-hati kerana sebarang isu yang menggugat kerjasama GRS-BN boleh mengakibatkan kerajaan negeri menjadi goyah.

“Sekiranya kerjasama itu (selepas PRU15) tidak dapat direalisasikan, kemungkinan kerajaan negeri akan goyah dan tumbang yang akhirnya membawa kepada pilihan raya negeri lagi. Oleh itu, situasi ini memerlukan tahap tolak ansur yang tinggi antara parti-parti terbabit,” katanya.

Penyelidik GeoPes UMS, Dr Haryati Karim berkata, kerjasama GRS-BN penting dalam memastikan kerajaan Persekutuan dibentuk selepas PRU15 nanti, mampu memenuhi tuntutan Sabah seiring dengan perjuangan kerajaan negeri GRS-BN.

“Sabah memerlukan pentadbiran kerajaan progresif seperti gandingan (dalam kerajaan negeri) GRS-BN yang ada sekarang. Jika kerjasama itu tidak diteruskan, pelaksanaan projek pembangunan juga akan berubah apabila bertukar kerajaan,” katanya kepada Bernama.

Haryati berkata, kerjasama perlu wujud sebelum penamaan calon pada PRU15 selain ikhlas mahu bekerjasama demi kestabilan dan pembangunan Sabah, namun cabaran utamanya ialah komitmen untuk terus setia dalam kerjasama itu.

Beliau berkata apa yang tidak diperlukan rakyat Sabah adalah mengadakan PRN semula sekiranya kerjasama GRS-BN itu terlerai selepas PRU15, yang akan menjejaskan proses pembangunan negeri kerana bertukar kerajaan hanya selepas mengadakan PRN pada 2020.- BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top