Kerjasama Erat Kerajaan Sabah, Persekutuan Lancarkan Pelaksanaan Dasar

hajiji-dan-setiuasaha-persekutuan.jpg

KOTA KINABALU: Kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan sangat penting untuk memastikan segala dasar dan projek yang dirancang di peringkat pusat dapat dilaksanakan sebaik mungkin, kata Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Samsuni Mohd Noor.

Sehubungan itu, beliau yakin dengan adanya hubungan keserasian antara kerajaan Sabah dan Persekutuan pada masa kini mampu melancarkan pelaksanaan dasar dan pembangunan projek yang telah dirancang di Sabah, sebelum ini.

“Kebetulan kini, kerajaan Sabah selari dengan kerajaan Pusat dan ini dapat memudahkan lagi kita melaksanakan segala dasar yang telah dirancang dan saya bersama agensi Persekutuan yang ada di Sabah akan memastikan bahawa segala dasar atau projek yang diarahkan di peringkat Persekutuan dapat dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan perpisahan terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah pada Khamis.

Menurut Samsuni, kunjungan tersebut bertujuan untuk memaklumkan Hajiji mengenai persaraan wajibnya yang akan bermula pada 20 Februari depan.

Mengulas lanjut, Samsuni berkata ia adalah kunjungan pertamanya ke atas ketua menteri selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menerajui kepimpinan kerajaan Sabah.

“Banyak perkara yang kami bincangkan termasuk dasar-dasar yang perlu kita selaraskan demi kebaikan rakyat di negeri ini.

“Apa yang kita mahu semua dasar yang diarahkan oleh Persekutan adalah selari dengan apa yang dimahukan oleh rakyat Sabah sendiri,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top