KOTA KINABALU: Naib Presiden PPBM Ronald Kiandee berkata, pendirian Umno Sabah untuk meneruskan kerjasama dengan parti itu menerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selari dengan perjuangan gabungan berkenaan untuk membentuk perpaduan erat demi kestabilan politik di negeri itu.
Katanya, keputusan pilihan raya negeri (PRN) lalu menunjukkan hasrat rakyat Sabah untuk melihat satu bentuk perpaduan erat demi kestabilan politik.
“Negara memerlukan satu bentuk kestabilan politik yang padu untuk menangani isu lebih besar iaitu ekonomi dan pembangunan negara.
“Rakyat menaruh harapan agar pendekatan politik yang diambil satu pendekatan yang menjanjikan kestabilan politik dan masa depan negara,” katanya dalam kenyataan.
Jumaat lalu, Astro Awani melaporkan Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin berkata, Umno negeri memiliki autonomi dan akan meneruskan kerjasama dengan PPBM serta parti lain menerusi GRS.
Semalam, Ketua Menteri Sabah yang juga Ketua PPBM Sabah Hajiji Noor menyifatkan kerjasama utuh antara parti itu dengan Umno di Sabah tidak tergugat dengan senario politik semasa di Semenanjung.
Kiandee berkata, pendirian Umno Sabah harus diterjemahkan ke peringkat nasional untuk membentuk satu gagasan politik yang dapat menjanjikan kestabilan politik menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“PRN yang lepas harus dijadikan iktibar bahawa rakyat memilih penjajaran baru yang menjanjikan kestabilan politik negara keseluruhannya.
“Perpaduan antara parti dalam Perikatan Nasional (PN) harus menjadi teras kepada pendekatan dan penjajaran politik yang baru di negara ini,” katanya.