Kerana Penulis Politik Itu Bukan Sahabat Pemerintah…

quote3.jpg
Kongsi Bersama

1. Tulisan sahabat saya, Musli Oli, di kolum Sekali Ketuk, yang meluahkan rasa hatinya kerana merasakan sumbangannya seolah-olah tidak dihargai, cukup menyentuh hati.

2. Mengenalinya secara dekat sejak hampir suku abad lalu meyakinkan saya bahawa luahan itu bukanlah sangat didorong oleh anugerah dan pingat, tetapi lebih kepada mempersoalkan cara dan sikap. Dia juga, pada saya, tidak hanya bercakap untuk dirinya sendiri sebaliknya sekadar menjadikan dirinya sebagai contoh.

3. Tetapi kalau dia bercakap untuk dirinya sekalipun, ia bukanlah masalah. Selepas hampir dua pertiga hidupnya dihabiskan untuk berbakti kepada negeri – dan negara – melalui buah fikiran yang diterjemahkan dalam bentuk buku, makalah dan pelbagai medium lain, dia berhak kecewa apabila merasa dirinya tidak dihargai sedangkan ada orang lain, yang entah dari ceruk mana, yang entah apa sumbangannya, tiba-tiba beroleh anugerah. Ada yang sampai mengatur negeri. Lepas satu, satu lagi.

4. Sebenarnya apa yang Musli bangkitkan bukan perkara baharu. Ia tidak hanya berlaku di Sabah, tetapi juga di negeri-negeri lain. Penulis politik secara umumnya jarang dirai.

5. Puncanya mudah. Di Malaysia penulis politik tidak dilihat sebagai sahabat pemerintah sedangkan kriteria untuk mendapat penghargaan lazimnya mestilah menjadi ‘sebahagian daripada mereka’.

6. Di Malaysia, menegur, apatah lagi mengkritik, pemerintah bukanlah sesuatu yang dialu-alukan. Malah ada kalanya kritikan dianggap sebagai paluan gendang perang. Pengkritik dengan pantas dilabelkan sebagai seteru. Kalau disapa bukan dengan rasa, kalau dirai bukan dengan hati.

7. Jika ada ketua kerajaan yang rapat dengan penulis politik pula, mereka lazimnya mengelak daripada memberi sesuatu secara terbuka sebab takut dituduh cuba membeli jiwa. Jadi pusing ke mana pun, penulis jugalah yang menjadi mangsa.

8. Sejak dahulu Malaysia tidak kurang dengan penulis-penulis politik yang hebat. Subky Latiff, Zakry Abadi, Aziz Zariza Ahmad, Yahya Ismail, Yusuf Harun, Sayuti Omar, Ahmad Lutfi Othman, Shahbuddin Husin dan banyak lagi. Berapa orangkah antara mereka yang pernah disematkan pingat di dadanya atau diberi segulung dua sijil penghargaan?

9. Ada beberapa penulis besar yang pernah diberi anugerah. Tetapi mereka bukanlah penulis politik. Mereka mungkin sasterawan atau wartawan yang penulisannya berkisar tentang politik. Yang betul-betul penulis politik, seingat saya memang tidak ada (betulkan jika saya tersilap). Kalau ada pun anugerah itu mungkin diberi atas sebab-sebab yang lain. Kerana aktiviti politiknya, kerana kerja kebajikannya, kerana perniagaannya, atau kerana sebab-sebab lain yang tidak bersangkutan dengan tulisan-tulisan politiknya.

10. Jadi kepada Musli, teruskan menulis. Pedulikan anugerah, penghargaan dan pengiktirafan. Yang penting sejarah politik Sabah tahu bahawa saudara adalah sebahagian daripada mereka yang mewarnainya. Yang lebih penting rakyat Sabah mendapat manfaat yang tidak sedikit, dan secara berterusan daripada ilmu yang saudara kongsikan.

11. Jangan mengharap jauhari mengenal manikam kerana dalam politik, jauharinya memang jarang-jarang ada.

12. Dan jangan salahkan sesiapa kalau tidak dihargai oleh mereka. Salahkan diri sendiri. Kalau saudara menjadi penyanyi atau pelakon, mungkin sebelum Labuan diserahkan kepada Kuala Lumpur dahulu lagi, saudara telah bergelar Datuk!

-Adi Alhadi

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top