KUALA LUMPUR: Majoriti kes dalam siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) adalah mengenai isu kewarganegaraan di Sabah, Dewan Rakyat diberitahu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Ramkarpal Singh berkata Suhakam menerima kira-kira 5,440 aduan dari 2015 hingga 2020.
“58% daripada kes berjaya diselesaikan dengan baki 42% lagi sedang disiasat oleh Suhakam.
“Majoriti kes yang masih disiasat adalah mengenai isu kewarganegaraan di Sabah,” katanya semasa ucapan penggulungan pada Rabu selepas perbahasan Laporan Tahunan Suhakam 2020 di Parlimen.
Ramkarpal menjawab soalan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) yang membangkitkan soalan itu dalam perbahasannya sebelum ini.
Beliau juga mencadangkan lebih banyak pejabat Suhakam dibuka di negeri-negeri yang bersempadan dengan negara lain.
Ramkarpal berkata kerajaan mengalu-alukan cadangan untuk meningkatkan akses orang ramai kepada Suhakam, yang akan membolehkannya menyediakan perkhidmatan yang lebih baik.
“Cadangan ini bagaimanapun perlu dikaji dengan teliti kerana ia melibatkan kos operasi yang tinggi,” katanya.