Kerajaan Tubuh SMJ Petroleum Sdn. Bhd.

biz-talk-copy.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan menubuhkan syarikat minyak dan gas milik penuh kerajaan negeri iaitu SMJ Petroleum Sdn. Bhd.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, selain dapat mengawal industri minyak dan gas di negeri ini, penubuhan syarikat itu dapat mewujudkan peluang perniagaan kepada kontraktor tempatan.

“Industri minyak dan gas di Sabah mempunyai potensi yang besar dan merupakan sektor utama dalam hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Kerajaan telah menyasarkan untuk memperoleh RM1 billion anugerah kontrak tempatan atau 20 peratus daripada jumlah kontrak minyak dan gas yang diberikan pada tahun ini dan menetapkan sasaran 30 peratus untuk tahun hadapan.

“Secara tidak langsung, ini akan mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan kepada kontraktor tempatan.

“Kita juga mahu lebih ramai usahawan terlibat dalam industri minyak dan gas serta mempersiapkan diri dengan kemahiran dan kepakaran yang diperlukan sekiranya mahu merebut peluang dalam sektor ini,” katanya semasa menghadiri Biz-Talk anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KKCI) di sini, pada Jumaat.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki.

Sementara itu, berkenaan pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan Timur, beliau berkata pemindahan tersebut pastinya memberi manfaat kepada usahawan dan peniaga tempatan.

“Pemindahan ini bakal menjadikan kedudukan Sabah dan Sarawak yang terletak di kepulauan Borneo lebih strategik untuk dibangunkan sebagai kawasan pertumbuhan ekonomi baharu.

“Kesan limpahan pembangunan di Kalimantan mungkin akan menjadikan negeri Sabah dan Sarawak sebagai ‘lombong emas’ yang boleh diterokai bagi mengambil peluang pembangunan yang pesat di Kalimantan,” tambahnya.

Dalam majlis berkenaan, turut diadakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Penubuhan Usaha Sama Perniagaan antara KCCI dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI).

Hadir sama, Menteri Perpaduan Malaysia, Datuk Aaron Anak Ago Dagang, Presiden KCCI Datuk Ladislaus Maluda, Presiden DCCI, Datuk Allan Keripin Nangkai dan Pengerusi SME Corp Malaysia, Tan Sri Bernard Dompok. – JAPEN Sabah

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top