RANAU: Kerajaan tidak pilih kasih dalam melaksanakan projek pembangunan infrastruktur untuk rakyat sama ada di kawasan penyokong kerajaan mahupun kawasan pembangkang, tegas Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin.
Menurutnya, semua kawasam akan diberi perhatian untuk dibantu mengikut keutamaan dan keperluan mendesak.
“Justeru, rakyat harus faham dan perlu bersabar menanti pelaksanaan projek yang diperlukan di kawasan masing-masing,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Pesta Kaamatan Kampung Longut Baru, terletak kira-kira dua kilometer dari Pekan Ranau, baru-baru ini.
Menurut Jonathan, pihak pejabat Parlimen Ranau berusaha memastikan supaya setiap kawasam ada sesuatu pembangunan dibuat namun ini tertakluk kepads dana peruntukan yang disediakan Kerajaan dan mengikut keutamaan serta keperluan mendesak.
“Kita serius dalam membantu semua rakyat dengan menyalurkan peruntukan projek yang dilaksanakan namun terpaksa dijalankan secara berperingkat dan mengikut keperluan projek infrastuktur yang mendesak,” katanya.
Beliau meluluskan peruntukan berjumlah RM20,000 untuk membiayai pelbagai keperluan mendesak yang dipohon oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) Kg. Longut Baru.
Pengerusi JPKK Kg. Longut Baru, Jailin Gongki dalam ucapannya terdahulu mengemukakan beberapa permohonan kepada Jonathan termasuk pembinaan sebuah dewan mini bagi mengantikan balai raya yang dibina sejak puluhan tahun yang lalu dan kini semakin mengalami kerosakan, peralatan dapur dewan, mesin pemotong rumput, sebuah komputer riba untuk kegunaan JPKK, papan tanda kampung dan khemah.
Jonathan berkata, semua permohonan itu termasuk pembinaan dewan mini akan diteliti dan permohonan projek yang memerlukan kos yang besar akan dipanjangkan kepada kementerian atau agensi berkaitan.
“Untuk permohonan dewan mini, kita akan kemukakan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) atau agensi kerajaan yang lain untuk mendapat peruntukan yang mencukupi,” kata Jonathan.
Beliau turut mengharapkan perayaan Pesta Kaamatan dijadikan landasan untuk memperkukuhkan perpaduan, persaudaraan dan keharmonian yang sedia terjalin dikalangan rakyat Malaysia.
Beliau berkata, perayaan Pesta Kaamatan yang biasanya dirayakan di peringkat kampung, pekan, negeri dan kebangsaan tetapi kini dirayakan bersama para pelancong antarabangsa.
Beliau memuji kepimpinan JPKK Kg. Longut Baru kerana berjaya menganjurkan sambutan Pesta Kaamatan tahun ini.
“Ini membuktikan satu kejayaan permuafakatan dan kerjasama padu di kalangan penduduk,” tambah Jonathan. – WARTA ORIENTAL