KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta cukai kepenggunaan berasas luas yang lain bagi menangani isu hutang negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah lain akan diambil dalam usaha mengurangkan perbelanjaan dan menyelesaikan liabiliti dan hutang kerajaan yang kini mencecah RM1.5 trilion, mewakili 82 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
“Apa yang kita akan perketatkan adalah pengurangan subsidi bagi golongan kaya seperti yang dilakukan dalam isu subsidi elektrik.
“Seperti yang saya jelaskan di Dewan ini dalam sesi lalu, walaupun ada keputusan kerajaan sebelum ini untuk menaikkan tarif elektrik, kerajaan sekarang sudah membatalkan rancangan itu dan mengenakannya hanya kepada T20 (berpendapatan tinggi), syarikat multinasional dan syarikat besar, melainkan syarikat yang terbabit dalam keselamatan makanan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Wong Kah Woh (PH-Taiping) sama ada kerajaan bercadang untuk memperkenalkan cukai baharu bagi menangani beban hutang yang dihadapi negara.
Selain itu, Anwar berkata, kerajaan juga mengambil langkah dengan memperbaiki jawatan kelola kerana antara perbelanjaan bilion ringgit yang hilang adalah disebabkan pengurusan yang lemah dan ketirisan.
“Disebabkan hutang negara lebih tinggi daripada pertumbuhan negara, langkah lain yang diambil adalah memastikan asas hasil ditambah dan mengkaji semula kaedah perbelanjaan awam tanpa membebankan rakyat terutamanya dalam bidang pendidikan, kesihatan dan keperluan asas.
“Hal-hal ini kita akan cerakin dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 haribulan nanti,” tambahnya lagi. – BERNAMA