SANDAKAN: Kerajaan tidak pernah membatalkan projek baik pulih 24 jambatan di Kampung Sim-Sim bernilai RM4.2 juta seperti yang didakwa pembangkang, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin menjawab dakwaan mengatakan kelulusan peruntukan untuk projek itu dibatalkan selepas pentadbirannya terbentuk pada Mac.
“Ini tidak benar kerana kelulusan ini sudahpun diluluskan dan untuk tindakan kepada Unit Pelarasan Pelaksanaan (ICU) dan kemudian kepada pihak Majlis Perbandaran Sandakan,” katanya di majlis bersama penduduk Kampung Sim-Sim hari ini.
Di majlis sama, perdana menteri turut menyerahkan surat daripada ICU kepada Pengerusi Persatuan Nelayan Sandakan, Saiful Bahari Muin, memaklumkan peruntukan RM4.2 juta tersebut akan disalurkan kepada Majlis Perbandaran Sandakan melalui Pejabat Pembangunan Negeri Sabah.
Saiful beritahu pemberita dia gembira usahanya bersama seorang lagi penduduk, Afendi Hamdan, mohon projek baik pulih jambatan itu berjaya.