Kerajaan Tak Dedah Kutipan Hasil Dari Sabah

Dr-Jeffrey-DSAI.jpg

(Kredit: SabaHitz On9 TV)

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak mendedahkan jumlah kutipan hasil dari Sabah kerana dibimbangi berlaku sub judice terhadap kes yang telah dibawa ke mahkamah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pertanyaan Ahli Yang Berhormat mengenai jumlah kutipan hasil dari negeri Sabah adalah salah satu perkara yang dirujuk dalam saman yang telah difailkan ke mahkamah terhadap kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah.

“Oleh yang demikian, tiada apa-apa ulasan atau jawapan boleh diberikan pada masa ini atas dasar sub judice,” kata menteri kewangan yang juga perdana menteri itu.

Anwar berkata demikian dalam jawapan bertulis parlimen terhadap soalan Datuk Seri Jeffrey G Kitingan [GRS-Keningau].

Jeffrey meminta menteri kewangan menyatakan jumlah hasil yang dikutip kerajaan dari Sabah sejak 1974 hingga 2022, termasuk hasil minyak dan gas yang diperoleh oleh kerajaan dan Petronas melalui Akta Pembangunan Petroleum 1976.

Sub judice bermaksud sesuatu kes itu sedang dipertimbangkan oleh mahkamah dan oleh itu tidak boleh diperkatakan di khalayak ramai.

Bagaimanapun, Anwar berkata Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Kastam mengutip cukai langsung dan tidak langsung dari Sabah.

Ia merangkumi cukai pendapatan syarikat dan individu, cukai pendapatan petroleum, cukai keuntungan harta tanah, duti setem, duti import, duti eksport, duti eksais, cukai jualan dan cukai perkhidmatan.

Sementara Hasil bukan cukai pula, kata Anwar, seperti bayaran lesen, permit, denda, penalti dan sewaan dikutip oleh jabatan atau agensi persekutuan.

Anwar tidak menyebutkan secara khusus kes itu. Bagaimanapun beliau dipercayai merujuk kepada saman 12 wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) Sabah pada Jun tahun lalu.

Mereka memohon pengisytiharan bahawa Perkara 112C dan seksyen 2(1) Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan masih digunakan dan boleh dikuatkuasakan.

Seksyen 2(1) Bahagian IV Jadual Kesepuluh menyatakan bahawa Sabah berhak mendapat geran tahunan berjumlah “dua perlima” daripada hasil bersih yang diperoleh oleh Malaysia dari Sabah.

Mereka juga memohon pengisytiharan bahawa semakan Putrajaya terhadap jumlah geran di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan adalah melanggar perlembagaan, tidak sah dan tidak berkesan.

Walaupun PH kini menerajui Putrajaya, saman itu tidak ditarik balik.

Dalam manifesto pilihan raya tahun lepas, PH berjanji untuk memberikan geran tahunan “dua perlima” itu. – Malaysiakini

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top