Kerajaan Setuju Kembalikan 55 Lot Tanah Kepada Sabah, Sarawak

MA63.jpg
Kongsi Bersama

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju untuk mengembalikan semula 55 daripada 224 lot tanah, kepada Sabah dan Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Datuk Seri Fadillah Yusof.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia membabitkan 52 lot tanah di Sarawak dan tiga lagi di Sabah, dengan kerajaan negeri masing-masing akan membayar pampasan kepada Kerajaan Persekutuan berdasarkan nilai ketika tanah berkenaan diambil alih dulu.

“Kerajaan Sabah dan Sarawak akan membayar semula kepada Kerajaan Persekutuan, jumlah pampasan dibayar pada harga ketika Kerajaan Persekutuan mengambil alih tanah berkenaan.

“Ini kerana tanah terbabit tidak lagi digunakan oleh Kerajaan Persekutuan. Tanah itu menjadi terbiar, justeru pengambilalihan semula ini adalah untuk tujuan keselamatan, kesihatan dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Fadillah menjelaskan, ada lot tanah terbabit tidak pernah dibangunkan selepas diambil alih sejak 20 hingga 30 tahun lalu dan akhirnya menjadi kawasan penempatan setinggan.

“Secara keseluruhan, Kerajaan Sarawak memohon 219 lot tanah dikembalikan. Setakat ini, 52 lot tanah sudah dipersetujui untuk dikembalikan, manakala bakinya dalam masih proses rundingan,” katanya.

Berhubung pengambilalihan Pelabuhan Bintulu pula, Timbalan Perdana Menteri berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Unggah Embas, akan berbincang untuk mencari kaedah bersesuaian.

“Ini kita sudah bersetuju untuk dibincangkan secara bersama yang akan dipengerusikan oleh Armizan, Menteri Pengangkutan dan Timbalan Premier Sarawak yang menjaga hal ehwal pelabuhan.

“Ketiga-tiga mereka akan duduk bersama (dalam tempoh terdekat) untuk mencari kaedah serta aspek kewangan, terutama bagaimana kerajaan negeri akan membayar kepada Kerajaan Persekutuan bagi pengambilalihan pelabuhan itu,” katanya.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, mesyuarat bersetuju secara prinsip berhubung pindaan Rang Undang-Undang (RUU) untuk memasukkan wakil dari Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“RUU ini pernah dibentangkan pada sesi Parlimen yang lalu, namun ia dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas dan hari ini, kita bersetuju secara prinsip pindaan yang akan dibuat.

“Pindaan ini akan dibawa kepada Peguam Besar Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan pengesahan secara hitam putih serta persetujuan apa yang akan dipinda nanti, sebelum ia dibentangkan semula pada sesi Parlimen akan datang,” katanya. – BHarian

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top