SANDAKAN: Kerajaan menyediakan empat bantuan kepada mangsa bencana di negeri ini bagi memastikan kebajikan mereka dapat disediakan dengan baik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata kerajaan sentiasa memberi fokus kepada kebajikan semua mangsa bencana di seluruh negara.
Katanya, semua mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh Sabah akan mendapat bantuan dengan kadar segera.
“Kerajaan mempertimbangkan empat jenis bantuan dalam pelbagai bentuk yang akan diurus menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Bantuan yang disediakan adalah wang ehsan sebanyak RM1,000, kes kematian RM5,000, Projek Pembaikan Rumah RM5,000 dan bantuan pembelian bantuan khas RM2,500,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Papar berkata demikian ketika mendengar taklimat dan melawat lokasi kejadian bencana di Kampung Forest, di sini semalam.
Menurutnya, bantuan itu terumatanya wang ehsan akan diberikan secepat mungkin selepas semua data dan maklumat mangsa diterima.
“Semua pengurusan bantuan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan memastikan tiada birokrasi dalam penyaluran bantuan tersebut.
“Penyaluran bantuan itu akan diserahkan kepada negeri dan daerah mengikut laporan Jawatankusa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD),” katanya.
Bagaimanapun, katanya, bantuan yang disalurkan itu akan diberikan kepada mangsa yang berstatus warganegara sahaja.
“Bagi warga asing pula, kita akan mengambil beberapa pendekatan supaya kebajikan mereka juga dapat diberikan termasuklah bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO).
“Saya juga cukup yakin, kerajaan Sabah akan menyalurkan bantuan melalui peruntukan negeri dengan kadar segera,” katanya.
Armizan berpesan kepada penduduk yang tinggal di kawasan berisiko supaya sentiasa peka dengan nasihat dan ramalan yang dikeluarkan oleh agensi teknikal berkaitan.
“Paling penting adalah sentiasa mematuhi segala arahan serta nasihat yang dikeluarkan oleh JPBD dan Pusat Operasi Bencana Daerah,” katanya. – Utusan Borneo