TAMBUNAN: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perikanan dan Pertanian Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G Kitingan hadir dalam Majlis Perasmian dan Penutupan Kursus Penternakan Ikan Kolam Kaedah Kanvas Siri 1/2021 di Mini Dewan Terbuka Kampung Kuala Monsok hari ini.
Dalam ucapannya Dr. Jeffrey berkata, kerajaan menggalakkan apa jua usaha untuk membantu terutama masyarakat luar bandar bagi meningkatkan sumber pendapatan.
Bantuan yang dimaksudkan adalah daripada segi kepakaran, nasihat dan bantuan-bantuan yang ada untuk merealisasikan objektif halatuju Sabah Maju Jaya.
Kursus lima hari tersebut telah memberi asas penternakan ikan di kawasan rumah kepada para peserta.
Mereka juga boleh menceburi perniagaan penternakan ikan dalam sangkar kanvas.
“Saya ingin melihat kejayaan program ini bukan hanya dari segi kursus tetapi juga dari segi pencapaian.
“Enam bulan atau setahun daripada hari ini saya ingin melihat usaha ini mencapai kejayaan,” katanya.
Menurut Dr Jeffrey beliau melihat Kampung Kuala Monsok berpotensi sebagai kawasan eko pelancongan dan menggesa supaya penduduk di situ tidak ketinggalan mengambil kesempatan dalam Program Perikanan Ikan Air Tawar.
Katanya, beliau telah memohon supaya pengumpulan hasil tani di bawah Koperasi Pembangunan Desa dimulakan di Kampung Kuala Monsok bagi Daerah Tambunan.
Selain itu padang ragut Monsok perlu perlu dibangunkan kerana daerah Tambunan memiliki padang ragut terbesar di Sabah.
Pada majlis itu Dr Jeffrey turut menyampaikan sijil penyertaan kepada 16 peserta lelaki dan 4 peserta perempuan.
Para peserta masing-masing turut menerima kanvas, pam air, 60 ekor benih ikan talapia, 1 kg baja ikan dan net hitam.
Turut hadir Pegawai Daerah Keningau, Walter Kenson; Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.39 Tambunan, Alexius Kiob; ADDO Penolong Pegawai Daerah, Vitus Ikon dan Pegawai Pembangunan Parlimen, Lectus Fung.