Kerajaan Sedang Rangka RUU Kembalikan Hak Sabah, Sarawak – Wan Junaidi

Wan-Junaidi.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan akan meneliti pelaksanaan pindaan terhadap beberapa perkara kritikal dalam peruntukan Perjanjian Malaysia 1953 (MA63) untuk mengembalikan semula hak rakyat Sabah dan Sarawak, kata Menteri Undang-Undang Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, penggubalan rang undang-undang (RUU) berkaitan pindaan itu akan dilakukan dengan bantuan Peguam Negara.

Wan Junaidi berkata, pembentangan untuk RUU berkenaan di Parlimen menjadi keutamaan dan selain sasaran 100 hari beliau.

“Kami sudah membentangkan pelan pelaksanaan komprehensif untuk perkara berkenaan dan mengikut garis masa, kami mengikut jadual.

“Kami optimis mampu menyelesaikan dalam tempoh 100 hari,” katanya dalam kenyataan.

Wan Junaidi berkata, RUU terbabit memerlukan sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen untuk diluluskan.

Sehubungan itu, ia memerlukan libat urus yang meluas membabitkan pemegang taruh utama, terutama Ahli Parlimen dan rakyat.

“Secara asasnya inilah yang saya sedang lakukan sekarang. Saya bergilir bertemu dengan kepemimpinan dan pegawai tinggi kerajaan di Sabah dan Sarawak untuk menjelaskan kepada mereka berkenaan perkara ini.

“Agenda ini sangat penting kepada kita dan saya berharap rakyat di Sabah dan Sarawak, tanpa mengambil kira pendirian politik, akan menyokong,” katanya.

Antara penunjuk prestasi utama bagi tempoh 100 dalam kementerian, turut menumpukan inisiatif mentransformasikan kerajaan, Parlimen dan MA63.

Antara tumpuan lain membabitkan had penggal perkhidmatan Perdana Menteri kepada 10 tahun; membenarkan pelantikan Timbalan Speaker Dewan Rakyat ketiga; dan mengembalikan hak rakyat Sabah dan Sarawak mengikut MA63.

Wan Junaidi berkata, kerajaan hari ini yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilihat komited membangunkan Sabah dan Sarawak, yang menjadi keutamaan mengikut Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Beliau berkata, ia dijangka mempercepat pembangunan dan membantu meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.

“Natijahnya, selepas mencapai kemerdekaan selama 58 tahun, lebih 40% rakyat di Borneo masih berada di kawasan luar bandar, kekurangan fasiliti asas dan infrastruktur, membabitkan jaringan jalan raya, komunikasi, elektrik, pendidikan dan penjagaan kesihatan.

“Saya berharap mengikut RMK12, lebih banyak pembangunan dan kemajuan akan berlaku di Sabah dan Sarawak, justeru kita mampu menikmati fasiliti yang setaraf seperti mana dinikmati rakyat di Semenanjung,” katanya. – FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top