Oleh: Jaafar Abdul Wahid
KINABATANGAN : Kerajaan meletakkan kepentingan pendidikan sebagai keutamaan dalam usaha melahirkan modal insan cemerlang bagi mengisi keperluan pembangunan negara menjadi sebuah negara maju.
Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata kerajaan bukan sahaja meningkatkan kemudahan prasarana sekolah dengan membina sekolah-sekolah baharu malah turut menggantikan sekolah usang.
Selain itu katanya, kerajaan juga menyalurkan pelbagai peruntukan besar serta bantuan pendidikan demi memperkasa kualiti dan pencapaian mutu pendidikan negara.
“Kerajaan memberi peruntukan yang cukup demi meningkatkan infrastruktur dan kemudahan di semua sekolah.
“Saya yakin pelbagai kemudahan yang diberi dan disediakandapat mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran lebih kondusif ,” katanya pada majlis penyerahan bantuan pendidikan (Back To School) di perkarangan Pejabat Pendidikan Daerah Kinabatangan kelmarin.
Penyerahan bantuan serta teks ucapan beliau disampaikan oleh Pemimpinan Pembangunan Masyarakat (PPM) Dun 58 Lamag Abdu Bakar Gapar.
Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Kinabatangan Munah Nasri, Ketua Daerah Kinabatangan Jibra Jahaya, ADO Kinabatangan Zulhafzal Mungkin serta para pengetua dan guru besar sekolah-sekolah yang terlibat.
Sebanyak 10 buah sekolah menerima bantuan tersebut iaitu lapan buah sekolah rendah dan dua buah sekolah menengah.

Bung Moktar… turut rakamkan penghargaan kepada para guru.
Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata, sejajar dengan kepentingan pendidikan, beliau juga meletakan kepentingan tersebut untuk membangunkan Dun Lamag yang beliau wakili agar tahap prasarana dan kecemerlangan pendidikan dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
“Saya memahami kesan penularan koronavirus Covid-19 yang melanda dunia banyak cabaran serta dugaan yang dihadapi oleh ibu bapa pelajar dan guru-guru dalam menyampaikan ilmu kepada para pelajar,” katanya.
Sambil mengharapkan bantuan tersebut dapat meringankan bebanan ibu bapa yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dari segi sumber pendapatan, Adun Lamag itu juga turut melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua guru-guru yang komited dan gigih meneruskan khidmat bakti walaupun berhadapan dengan cabaran ketiadaan akses internet untuk melaksanakan PdPR namun mereka gigih meneruskan tugas dengan menghantar bahan pembelajaran dari rumah ke rumah pelajar.
“Saya memahami kesukaran itu dan kerajaan sedang berusaha untuk mempertingkatkan capaian internet dengan membangunkan Pelan infrastruktur Digital Negara (Jendela) agar masyarakat luar bandar tidak terpinggir daripada menikmati kemudahan tersebut,” katanya.