KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menzahirkan rasa bertuah atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menjelajah negeri ini menerusi Kembara Kenali Borneo.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata rakyat negeri ini juga sangat teruja dengan kehadiran baginda berdua mencemar duli bertemu rakyat di sepanjang perjalanan Kembara Kenali Borneo yang bermula di Tawau pada Ahad lalu.
Katanya, program jelajah yang sedang berlangsung itu amat bermakna kepada rakyat Sabah kerana memberi mereka peluang untuk menatap secara dekat wajah Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong dan keluarga diraja baginda berdua.
“Ada juga yang berkesempatan untuk bertegur sapa di beberapa lokasi persinggahan sepanjang pengembaraan yang dilalui oleh Seri Paduka Baginda.
“Keprihatinan, kemesraan dan kemuliaan hati tuanku berdua akan kekal terpahat di hati rakyat untuk selamanya,” katanya pada Majlis Santapan Malam Kerajaan Negeri sempena program Kembara Kenali Borneo di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam tadi.
Keberangkatan tiba baginda berdua turut disambut Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya.
Hajiji berkata, rakyat negeri ini juga amat mengagumi kesediaan dan kesanggupan Seri Paduka Baginda berdua menyelusuri dan memandu sendiri di sepanjang jalan dari Tawau hingga ke Kota Kinabalu sejak Ahad lalu, sebelum meneruskan kembara ke Sipitang dan Sarawak, pada Khamis.
“Semoga Program Kembara Kenali Borneo yang bersejarah ini akan kekal terukir indah di dalam hati sanubari Seri Paduka Baginda berdua dan keluarga,” katanya.