Kerajaan Sabah tubuh jawatankuasa khas kenal pasti pelajar tercicir bantuan pendidikan

Arifin-bantuan-pendidikan.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah melalui Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) mengambil langkah proaktif dengan melantik sebuah jawatankuasa khas yang bertanggungjawab mengenal pasti pelajar universiti dari kalangan golongan B40 yang masih belum menerima bantuan pendidikan.

Inisiatif ini bertujuan memastikan tiada pelajar Sabah yang tercicir, terutamanya mereka yang menghadapi kesukaran kewangan untuk meneruskan pengajian.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Exco Pendidikan Negeri, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif, menegaskan bahawa keutamaan diberikan kepada pelajar yang benar-benar memerlukan bantuan.

Beliau menyeru agar pelajar atau ibu bapa yang menghadapi kesulitan kewangan untuk segera menghubungi pejabat daerah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), ketua kampung, atau Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat di kawasan masing-masing untuk mendapatkan bantuan yang sewajarnya.

“Kami telah mengadakan siri jelajah ke seluruh daerah di Sabah, melibatkan kerjasama dengan PPD, guru besar, pengetua, dan pemimpin masyarakat.

“Pelbagai siri penyerahan bantuan telah dilaksanakan, dan sejak awal tahun ini, TPNS telah memperuntukkan RM9.7 juta untuk membantu seramai 7,369 pelajar Sabah melanjutkan pengajian,” katanya dalam satu majlis penyampaian bantuan TPNS di Menara Kinabalu pada Selasa lalu.

Langkah ini juga diambil berikutan laporan beberapa kes pelajar di kawasan pedalaman Sabah yang menghadapi masalah kewangan untuk mendaftar masuk ke universiti.

Mohd. Arifin berharap dengan adanya jawatankuasa ini, isu tercicir dapat diatasi dengan lebih berkesan.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas tentang kisah seorang guru bukan Islam di Beluran yang mengajar tulisan Jawi.

Menurutnya, kisah ini telah membuka mata masyarakat bahawa tulisan Jawi tidak terhad kepada mana-mana agama, sebaliknya adalah warisan budaya yang boleh dipelajari oleh sesiapa sahaja.

“Pada tahun 70-an, kita sering melihat nama-nama kedai ditulis dalam tulisan Jawi. Dengan kisah guru tersebut, saya berharap tulisan Jawi akan terus berkembang. Guru-guru bukan Islam juga dialu-alukan untuk mempelajari tulisan Jawi sebagai salah satu cabang ilmu pengetahuan,” jelasnya.

Sebelum ini, kisah guru berbangsa Rungus, Lorenica Frenila Masundim, yang mengajar tulisan Jawi kepada murid-murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang, Beluran, tular di media sosial dan mendapat pujian ramai. – Nabalu News

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top