KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mendukung penuh usaha Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dalam gerakan pembangunan dakwah dan pendidikan di negeri ini.
Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Arif, berkata kerajaan akan membantu pertubuhan itu dalam merealisasikan pelan strategik pembangunan yang dirangka USIA.
Sehubungan itu, beliau berharap barisan kepemimpinan USIA bagi sesi 2025-2027 mengembleng usaha bersama bagi menjayakan agenda yang digariskan itu.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Watikah Ahli Majlis Tertinggi (AMT) USIA sesi 2025-2027 di sini kelmarin.
Hadir sama Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad dan Timbalan Yang Dipertua, Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan.
Dalam ucapannya Mohd Arifin turut menyeru saf kepemipinan USIA untuk menumpukan sepenuh komitmen bersama Sapawi selaku Yang Dipertua yang dipilih bagi penggal kedua.
“Ini untuk memastikan segala dasar dan strategi Pelan Strategik Pembugaran serta program USIA di lapangan sama ada bersama pihak kerajaan ataupun NGO lain akan terlaksana dengan cemerlang serta memenuhi keperluan dan ekspektasi rakyat,” katanya.
Beliau berkata segala tugasan yang diamanahkan kepada semua pimpinan harus ditunjangi dengan keikhlasan, beramanah dan diusahakan secara optimum bagi membuahkan hasil yang substantif.
Dalam pada itu, katanya, Perdana Menteri telah memperkenalkan gagasan Malaysia MADANI yang merujuk kepada pembinaan sebuah kumpulan masyarakat yang maju dari segi kerohanian, pemikiran dan juga kebendaan.
“Ini bermaksud Perdana Menteri amat memfokuskan kepada bukan sahaja pembangunan fizikal, tetapi juga usaha pengislahan iaitu penambahbaikan untuk kebaikan dalam konteks karamah insaniah ataupun mengangkat martabat dan kemuliaan insan.
“Dalam hal ini, fungsi dan peranan USIA dalam hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dan pembangunan masyarakat MADANI adalah amat signifikan sebagai suara penghubung di antara Kerajaan dan masyakarat di Sabah,” katanya.
Justeru, katanya, USIA boleh menjadi rujukan dalam konteks dakwah, pendidikan dan pembangunan masyarakat, dibantu dengan kepimpinan di semua peringkat.
Terdahulu, Sapawi dalam ucapannya menyatakan komitmen serta peranan USIA membantu agensi lain termasuk Majlis Agama Islam Sabah (MUIS) dan Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).
“Kita akan memperkasa kolaborasi dengan agensi berkaitan dalam gerakan dakwah dan pembangunan ummah di negeri ini, tanpa melupakan agenda pendidikan.
“USIA akan membantu dan menjadi pelengkap kepada kerajaan negeri dalam memperkukuhkan lagi gerakan dakwah,” katanya.
Pada majlis itu, Sapawi turut mengumumkan pelantikan 22 AMT USIA sebagai tambahan kepada AMT yang dipilih dalam mesyuarat agung tahunan bulan lepas.