Kerajaan Sabah Sedia Kerjasama Bersama Pembangkang Tolak TSA 2012

sempadan-laut-sabah.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri terbuka bekerjasama dengan pembangkang untuk membuat usul menolak Akta Laut Wilayah (TSA) 2012.

Ketika menjawab soalan tambahan daripada ADUN Moyog Datuk Darell Leiking dalam sesi sidang DUN, pada Khamis, Hajiji berkata kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan itu terutama apabila melibatkan hak Sabah.

“Saya fikir ADUN Moyog (Darell) mencadangkan sesuatu yang baik, kami mengambil maklum (mengenai cadangan itu) dan akan mengkaji serta mempertimbangkannya, terutama apabila melibatkan hak Sabah,” katanya.

Terdahulu, Darell yang juga Timbalan Presiden Warisan berkata, Sabah harus mengawal semula pelantar benuanya bagi membolehkan ekonomi negeri berkenaan dipulihkan semula.

Sehingga kini, katanya, Sabah belum menolak TSA 2012 sedangkan Sarawak dan Kelantan telah pun menolak akta berkenaan.

“Ini satu isu yang agak sulit… bagaimana kita memulakan semula ekonomi kita jika marin atau pelantar benua dan perairan laut berada di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN)?” soalnya.

TSA adalah undang-undang yang diluluskan Parlimen pada 2012 yang menggariskan had kawasan kedaulatan negara dan negerinya daripada garisan pantai.

Ini termasuk laut, dasar laut, dan tanah dalam iaitu lapisan tanah di bawah dasar laut.

Walaupun undang-undang antarabangsa mengehadkan perairan wilayah Malaysia kepada 12 batu nautika (22km) dari pantai, TSA mengehadkan perairan negeri hingga tiga batu nautika (5.5km) dari pantai, termasuk untuk Sabah dan Sarawak.

Terdahulu, Hajiji berkata, kerajaan negeri akan terus komited untuk menjaga dan memperjuangkan hak-hak negeri itu seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga menyeru semua wakil rakyat Sabah untuk bersatu hati dan bersepakat dalam memperjuangkan perkara itu.

“Perbezaan ideologi politik tidak semestinya menjadi jurang pemisah antara kita dalam memperjuangkan hak-hak negeri ini di peringkat persekutuan.

“Kesatuan dan kesepakatan kita sangat penting agar sentiasa senada dan seirama dalam memperjuangkan hak-hak rakyat dan negeri demi kemajuan dan kesejahteraan semua.

“Suka saya menegaskan sekali lagi bahawa kerajaan negeri akan terus mempertahankan dan memperjuangkan hak-hak Sabah seperti yang termaktub di dalam MA63 serta perlembagaan persekutuan,” katanya. – FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top