TUARAN: Kerajaan Sabah akan memastikan anak-anak negeri ini sama ada di bandar mahu pun luar bandar mendapat akses pendidikan sama rata menerusi prasarana sekolah yang kondusif dan selesa, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Hajiji berkata ia adalah seiring dengan matlamat kerajaan negeri yang memberi keutamaan kepada pendidikan bagi melahirkan modal insan berdaya saing, berkemahiran dan berkualiti tinggi.
Beliau berkata komitmen dalam meningkatkan kualiti pendidikan rakyat juga dapat dilihat menerusi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya apabila pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat dijadikan sebagai teras kedua pelan berkenaan.
“Hanya menerusi ilmu pengetahuan, kemahiran dan pendidikan tinggi mereka (anak-anak Sabah) dapat bersaing dan berjaya sekali gus menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan Sabah khususnya,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Jubli Intan 60 Tahun Sekolah Kebangsaan (SK) Bundung di sini, semalam.
Sepanjang pentadbirannya, beliau berkata, banyak inisiatif pendidikan telah diperkenalkan dan diberikan kepada pelajar negeri ini dari peringkat sekolah rendah, sekolah menengah hingga institusi pengajian tinggi untuk memastikan mereka dapat melanjutkan pelajaran ke tahap lebih tinggi.
Hajiji berkata selain membantu pelajar, inisiatif itu juga dilaksanakan untuk memastikan kecemerlangan anak-anak dalam pendidikan memandangkan mereka adalah modal insan serta aset penting yang amat diperlukan untuk membawa Sabah ke tahap lebih membangun pada masa akan datang.
“Kerajaan negeri akan terus memperkukuhkan pembangunan modal insan dengan penyediaan peruntukan RM474.55 juta pada tahun depan bagi melaksanakan pelbagai program antaranya berkaitan pendidikan dan latihan,” jelasnya.
Mengulas mengenai sekolah daif di Sabah, Hajiji berkata kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi keutamaan kepada usaha menaik taraf infrastruktur serta kemudahan sekolah terbabit.
Dalam pada itu, Hajiji turut mengingatkan ibu bapa agar memastikan anak-anak mendapat pendidikan baik, selain tidak membiarkan mereka terjebak dengan kegiatan serta anasir negatif yang boleh merosakkan kehidupan dan masa depan.
Mengenai majlis sambutan itu, Ketua Menteri mahu ia menjadi pemangkin dan pencetus semangat kepada seluruh warga sekolah tersebut untuk terus melahirkan lebih ramai modal insan cemerlang dari segi akademik dan insaniah serta bersama membangunkan Sabah pada masa hadapan.
Beliau turut mengumumkan peruntukan RM200,000 bagi membaiki beberapa kemudahan di SK Bundung, yang telah berusia 60 tahun dan diketegorikan sebagai Sekolah Kurang Murid luar bandar. – BERNAMA