KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Nasional Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah menyambut baik komitmen kerajaan Persekutuan untuk memajukan ekonomi hijau melalui Akta Perubahan Iklim yang dijangka diluluskan tahun ini, sepertimana yang diumumkan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Pengerusi Yayasan Pengguna Nasional Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah, David Chan berkata, inisiatif ini adalah langkah penting dalam menangani isu perubahan iklim sambil mendorong pertumbuhan ekonomi yang mampan.
“Sabah yang terkenal dengan kekayaan biodiversiti dan sumber semula jadinya, bakal meraih manfaat besar sekiranya dasar-dasarnya sejajar dengan agenda hijau persekutuan.
“Pelaksanaan ekonomi hijau bernilai tinggi adalah penting bukan sahaja untuk melindungi alam sekitar tetapi juga untuk memastikan daya tahan ekonomi jangka panjang dalam menghadapi cabaran iklim global,” katanya.
Tambahnya, kerajaan Sabah diminta untuk mengambil langkah proaktif agar tidak ketinggalan berikutan peralihan kepada ekonomi hijau bukan sekadar pemuliharaan alam sekitar tetapi ia adalah langkah strategik untuk menjamin masa depan ekonomi Sabah dalam dunia yang semakin berubah.
“Dalam pasaran global yang semakin mengutamakan tenaga hijau dan amalan mampan, Sabah perlu mengambil tempat sebagai peneraju dalam ekonomi hijau.
“Ini termasuk pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui, mempromosikan industri mesra alam dan menggalakkan amalan mampan di semua sektor. Jika tidak, Sabah berisiko kehilangan peluang ekonomi yang besar dan daya saing dalam pasaran global,” katanya.
David turut menekankan bahawa peralihan kepada tenaga hijau adalah tanggungjawab bersama untuk melindungi planet ini demi generasi akan datang.
“Perubahan iklim adalah isu mendesak yang memerlukan tindakan berani. Dengan mengadaptasi inisiatif hijau persekutuan, Sabah boleh menyumbang dengan ketara dalam mengurangkan pelepasan karbon sambil menarik pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan dalam industri hijau,” katanya. – Utusan Borneo