Kerajaan Sabah Digesa Bekal Tenaga Kerja Bantu Pihak Berkuasa Kesihatan

petugas-kesihatan-covid.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe DAP Sabah menggesa kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memainkan peranan lebih besar dalam membekalkan tenaga kerja untuk membantu pihak berkuasa kesihatan dalam memerangi Covid-19.

Menurutnya, beliau menerima banyak aduan daripada orang ramai berhubung masalah dalam Jabatan Kesihatan.

“Selain orang ramai di PPV (pusat pemberian vaksin) mega, aduan lain termasuk keputusan ujian swab ditangguhkan,” katanya dalam kenyataan.

“Sementara itu, mereka yang sudah menjalani kuarantin 14 hari masih tidak menerima surat pelepasan mereka. Oleh itu, gelang kuarantin mereka tidak dapat ditanggalkan.”

ADUN DAP itu mendakwa mereka yang dijangkiti turut diarahkan untuk menjalani pengasingan di rumah, tetapi tanpa gelang atau perintah kuarantin.

“Kami bimbang ini akan menjadi kelemahan pencegahan dalam memerangi pandemik,” kata Phoong.

“Orang ramai juga cuba menghubungi Jabatan Kesihatan, tetapi tiada orang yang menjawab hotline atau menangani masalah mereka.”

Phoong

Phoong mengakui cabaran yang dihadapi pihak berkuasa kesihatan dan berkata, kerajaan negeri perlu membantu menyelesaikan masalah itu.

“Ia tidak dapat diterima jika kuarantin tidak dipantau pihak berkuasa dan sesetengah pesakit tidak bertanggungjawab terus bergerak dalam kalangan orang ramai.

“Mereka yang dijangkiti juga cemas kerana mempunyai maklumat terhad. Kurang komunikasi sedemikian boleh menimbulkan huru-hara.

“Sejumlah besar sumber tenaga manusia diperlukan sekarang kerana aliran kerja yang banyak.”

Katanya, lebih ramai kakitangan diperlukan dalam pelbagai bidang seperti melakukan ujian swab, mengeluarkan keputusan, memaklumkan pesakit dijangkiti, pengaturan berkaitan kuarantin dan penghantaran pesakit ke pusat kuarantin.

“Kerajaan negeri memainkan peranan penting dalam sistem pentadbiran. Mereka boleh melantik kakitangan untuk menguruskan perkhidmatan hotline dan memantau perintah kuarantin serta memotong gelang kuarantin.

“Ini akan membolehkan Jabatan Kesihatan mengalihkan lebih ramai profesional untuk memerangi virus itu melalui program vaksinasi kami.” – FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top