KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memberi keutamaan kepada aspek pendidikan untuk melahirkan modal insan yang lebih berdaya saing, berkemahiran dan berkualiti tinggi.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, seiring dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menjadikan Pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat sebagai teras kedua pelan berkenaan.
Beliau berkata, sejajar dengan usaha kerajaan negeri membangunkan modal insan yang cemerlang dan berkualiti untuk memacu pembangunan negeri, maka pelancaran Agenda Pembangunan Modal Insan Sabah-PETRONAS merupakan langkah yang amat tepat.
“Usaha ini membuktikan komitmen yang utuh dari PETRONAS untuk menyumbang semula kepada negeri ini secara holistik, menyeluruh dari segi pembangunan keupayaan. Sabah, melalui agensi-agensi dan syarikat berkaitan kerajaan akan memberi sokongan penuh kepada agenda ini.
“Bagi memastikan keberkesanan dan kejayaan agenda ini, seluruh eko-sistem perlu bersatu dan bergabung tenaga demi memastikan program dijalankan seperti yang dirancang, dan kita sentiasa bersedia memberi dan menerima maklum balas untuk penambahbaikan,” katanya pada Majlis Pelancaran Agenda Pembangunan Modal Insan Sabah-PETRONAS (Sabah-PETRONAS Human Capital Development Agenda) di sini, pada Jumaat.
Ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun.
Hajiji berkata, selari dengan komitmen pembangunan modal insan melalui pendidikan, dalam Belanjawan Sabah Tahun 2022, pemberian biasiswa bagi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM55 juta.
Menurutnya, keutamaan penajaan adalah bagi pelajar yang mengambil kursus dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memenuhi tuntutan pasaran pada masa akan datang.
Katanya, kerajaan negeri juga berkongsi kegembiraan dan bangga dengan pencapaian cemerlang anak-anak-anak Sabah, kerana lebih 100 pelajar ditawarkan biasiswa melalui PETRONAS Education Sponsorship Programme (PESP) pada tahun ini.
“Tajaan ini akan membuka peluang lanjutan pelajaran ke peringkat tinggi di Universiti Teknologi PETRONAS serta universiti-universiti berprestij tanah air dan di luar negara.
“Ini adalah salah satu agenda utama PETRONAS dalam usaha meningkatkan tahap pendidikan dan pembangunan modal insan untuk menaik taraf sosio ekonomi penduduk setempat, sekali gus dapat membantu pembangunan negeri Sabah terutamanya dalam penyediaan tenaga kerja mahir dalam bidang minyak dan gas serta bidang-bidang industri lain pada masa hadapan,” katanya.
Hajiji yang juga Menteri Kewangan Negeri berkata, kerajaan negeri juga amat berbesar hati dengan termeterainya dua memorandum persefahaman (MoU) yang akan membawa perkembangan positif kepada landskap industri minyak dah gas negeri ini.
MoU pertama ialah diantara Sabah Energy Corporation Sdn Bhd dan PETRONAS Global
Technical Services Sdn Bhd untuk meneroka kerjasama dalam bidang keupayaan teknikal dan pensijilan program serta latihan teknikal.
MoU kedua diantara Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam usaha meningkatkan kecekapan saintifik, teknikal, kejuruteraan,pendidikan dan membangunkan program yang bermanfaat bagi kedua-dua pihak.
Beliau optimis, semua usaha itu akan memberi manfaat kepada Sabah, terutama dalam sektor minyak dan gas yang kini sedang giat dilaksanakan di Sabah. Sudah tentu, hubungan ini akan membawa nilai tinggi dalam pengalaman pembelajaran pelajar-pelajar yang terlibat sekali gus meningkatkan profil UTP dan UMS.
Hajiji berkata tahun lalu, Sabah mencatatkan satu kejayaan bersejarah dengan penubuhan syarikat minyak dan gas milik penuh negeri yang dikenali sebagai, SMJ Sdn Bhd, hasil daripada Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai dengan PETRONAS.
“Ini bermakna penglibatan yang lebih besar bagi Sabah dalam perniagaan petroleum huluan, serta dalam perniagaan minyak dan gas secara pertengahan dan hiliran. Justeru, kedua-dua MoU yang dimeterai itu akan memberi manfaat untuk membantu membangunkan modal insan khususnya dalam industri minyak dan gas di negeri ini,” katanya.