Kerajaan Sabah anjur majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina, Krismas bermula tahun ini

CM-CNY-1.jpg

Foto: BERNAMA

Kongsi Bersama

SANDAKAN: Kerajaan Sabah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan menganjurkan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina dan Krismas peringkat negeri mulai tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor.

Katanya, kerajaan telah memutuskan penganjuran dua perayaan itu akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri seperti sambutan perayaan Aidilfitri dan Pesta Kaamatan sebagai bukti kerajaan negeri sentiasa mementingkan dasar kesaksamaan kepada semua perayaan tanpa mengira kaum dan agama.

“Ini bermakna semua perayaan besar peringkat negeri di Sabah akan dikendalikan secara rasmi oleh kerajaan negeri.

“Rumah terbuka setiap perayaan di negara ini perlu menjadi platform untuk menyemai, memupuk dan mempertahankan keharmonian serta kerjasama dalam kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama di negeri ini,” katanya pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina 2024 peringkat Daerah Sandakan di sini pada Ahad.

Majlis rumah terbuka itu dianjurkan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sandakan.

Hajiji berkata sambutan pelbagai perayaan menjadi platform mengeratkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama di negeri ini dan memberi peluang kepada rakyat untuk menyemai semangat perpaduan dan saling mengenali.

“Sesungguhnya, semangat inilah, ditambah dengan toleransi antara kaum, adalah pengikat yang nyata untuk membawa negeri ini untuk terus maju ke hadapan.

“Berdepan dengan pelbagai cabaran untuk pemulihan dan kestabilan ekonomi, setiap daripada kita mempunyai tugas dan tanggungjawab yang amat besar,” katanya.

Hajiji juga meminta rakyat akan bersama kerajaan negeri berganding bahu dalam menjayakan agenda pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Pelan ini yang dilancarkan pada tahun 2021 kini berada di landasan betul dan diharapkan dengan sokongan berterusan daripada rakyat, ekonomi negeri akan terus kukuh sekali gus akan menarik lebih ramai lagi pelabur untuk datang ke negeri ini.

“Fokus kita tidak pernah lari daripada meningkatkan pembangunan negeri dan ekonomi rakyat. Jika ini dapat diteruskan, saya yakin kita dapat melaksanakan pelbagai lagi program untuk kebaikan takyat di negeri ini pada masa akan datang,” katanya. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top