Kerajaan Sabah Akan Benarkan Eksport Balak Secara Terhad

balak.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan membenarkan eksport balak terhad dari hutan semula jadi mulai tahun hadapan.

Ketua Konservator Hutan Sabah Datuk Frederick Kugan mengesahkan, larangan eksport balak akan ditarik balik berkuat kuasa 3 Januari 2022.

Bagaimanapun katanya, eksport berkenaan akan dihadkan kepada 20 peratus pengeluaran balak tahunan berdasarkan rancangan kerja tahunan.

Selain itu jelasnya, ia hanya terpakai kepada pemegang lesen Pengurusan Hutan Lestari (SFM) untuk jangka panjang dan kawasan pengeluaran yang mempunyai kepentingan berkaitan kerajaan.

Frederick memberi jaminan, industri hiliran akan terus menerima 80 peratus bekalan kayu balak dari hutan semula jadi.

“Tidak ada had untuk penanaman kayu balak. Namun, keutamaan akan diberikan kepada industri dalam negeri terlebih dahulu.

“Jawatankuasa penyelaras yang melibatkan wakil daripada pemain industri dan agensi kerajaan akan memantau keadaan ini,” katanya dalam kenyataan di sini kelmarin.

Terdahulu, Frederick memaklumkan dalam surat pekeliling bertarikh 21 Disember 2021, bahawa Program Eksport Kayu Balak Terhad berkuat kuasa mulai 3 Januari 2022.

Program berkenaan membenarkan pihak yang berkelayakan untuk mengeksport kayu balak dari Sabah dan akan menarik balik larangan eksport balak di negeri ini.

Pada April tahun ini, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor memutuskan kerajaan negeri mengekalkan larangan eksport kayu balak yang dilaksanakan semasa pemerintahan kerajaan Parti Warisan Sabah (WARISAN) Plus.

Namun beliau menjelaskan, kajian menyeluruh juga akan dijalankan bagi memutuskan sama ada larangan terbabit akan berubah pada masa hadapan.

Pada 2018, kerajaan WARISAN Plus mengharamkan eksport kayu balak bagi memastikan kayu mencukupi untuk kilang di negeri ini sekali gus memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah. –Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top