KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memberi pertimbangan untuk membantu bekas pemain bola sepak Sabah dan Sarawak, Bobby Chua yang sebelum ini dilaporkan menghidap penyakit amyotrophic lateral sclerosis atau ALS.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, ketika menyatakan maklum balas beliau selaku Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) mengenai keadaan bekas pemain berkenaan.
“Kita akan bantu beliau. Kita akan lihat penyakit yang dihidapinya dan berapa kos yang diperlukan.
Saya juga sudah memaklumkan perkara ini kepada Kabinet negeri dan ia sedia memberi pertimbangan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Khamis.
Sebelum ini, bekas pemain tengah berumur 52 tahun itu dikatakan mengalami penurunan fungsi (degeneratif) pada sel saraf motorik yang berkembang dengan cepat disebabkan kerosakan sel saraf atau dikenali sebagai penyakit ALS.
Penyakit itu menyebabkan kedua belah tangan Bobby semakin lemah dan beliau perlu disuap oleh isterinya untuk makan. Difahamkan, Bobby memerlukan hampir RM300,000 untuk rawatan susulan bagi penyakitnya itu yang jika dibiarkan boleh menyebabkan kesihatannya semakin susut dan akhirnya lumpuh.
Bobby yang berasal dari Inanam, di sini, menjadi pemain bola sepak profesional pada 1994 dan bermain untuk pasukan Sabah sehingga 1998 sebelum berhijrah ke Sarawak. Perpindahan beliau ke Sarawak pada waktu itu pernah menjadi kontroversi apabila hanya dikenakan yuran RM9.95 oleh SAFA.
Selama enam tahun bermain untuk Sarawak iaitu sehingga 2004, Bobby pernah diberi kepercayaan sebagai kapten pasukan dan menjadi antara pemain skuad Bujang Senang yang menyerlah ketika itu.-BHarian