KUALA LUMPUR: Hasil 40% adalah duit Sabah, bukan duit Persekutuan ataupun dari negeri-negeri yang lain. Maka itu rakyat Sabah ingin tahu, apa sebab kerajaan pusat tidak menghormati Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia (MA63) selama ini?
Itu soalan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Keningau Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan pada persidangan Dewan Rakyat Isnin lepas.
Kitingan berkata Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi jaminan akan melaksanakan MA63 sepenuhnya tetapi sehingga hari ini 40% hasil bersih belum lagi dikembalikan kepada Sabah.
Pengembalian hasil bersih 40% dari segala hasil yang dikutip oleh Persekutuan dari Sabah adalah termaktub dalam Perlembagaan.
“Perlembagaan harus dihormati kerana setiap wakil rakyat, setiap menteri, telah bersumpah untuk mempertahankan Perlembagaan. Hasil 40% ini bukan RM26.7 juta, bukan RM125 juta dan bukan RM300 juta tetapi berbilion!,” tegasnya.
Beliau memberi contoh; tahun lalu Petronas mengaut keuntungan dari Sabah sebanyak RM30 bilion. Cukai kutipan dari Sabah RM6.5 bilion, Kastam RM2.6 bilion dan RM2 bilion merupakan 5% yang kerajaan terima daripada minyak dari Sabah.
Menurutnya jumlah tersebut (RM41 bilion) belum termasuk hasil-hasil daripada agensi-agensi yang lain seperti JPJ, dan syarikat-syarikat yang berpangkalan di Kuala Lumpur tetapi menjalankan perniagaan di Sabah.
Jelasnya, hasil 40% daripada RM41 bilion tidak kurang daripada RM16.4 bilion setahun iaitu jumlah hak Sabah yang tidak diberikan kepada Sabah.
“Jadi, peruntukan (dana pemberian khas) RM300 juta masing-masing untuk Sabah dan Sarawak dalam Belanjawan 2024 ini memang mengecewakan warga Sabah dan Sarawak,” tegasnya.
Beliau menegaskan lagi bahawa RM300 juta Belanjawan 2024 itu boleh diterima sebagai bayaran interim semata, sementara masalah dan tuntutan 40% haruslah diselesaikan secepat mungkin kerana Sabah telah terlalu lama menunggu iaitu selama 60 tahun untuk menyaksikan penyelesaiannya.
Kitingan memperingatkan bahawa kegagalan Kuala Lumpur untuk mengembalikan hasil 40% hanya menambahkan kemarahan dan keazaman rakyat Sabah untuk ‘lari’ dari Malaysia.
“Dulu 60% (rakyat Sabah) nak berpisah tetapi menurut mantan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Datuk Harris Salleh, dia berkata, “…80% sekarang sekiranya ada pungutan suara.”,” katanya.
Sehubungan dengan itu Pakatan Harapan dan Sabah Law Society telah mengambil tindakan mahkamah terhadap Kerajaan mengenai hasil 40% ini.
Sementara itu terdapat kes mahkamah oleh NGO SABAR atau Sabah Action Body Advocationg Rights mengenai pengisytiharan Akta Pelantar Benua 1966, yang menghadkan sempadan Sabah Sarawak kepada 3 batu neutika.
Menurutnya kedua-dua kes tersebut membuktikan tahap kekecewaan atau ‘frustration’ warga Sabah sehingga perlu mengambil tindakan mahkamah.
“Kita perlu menerima hakikat bahawa rakyat Sabah tidak akan menerima lagi sekiranya hasil bersih 40% ini dilengah-lengahkan lagi dan tidak dibayar,” katanya.
Kitingan memberi cadangan untuk memudahkan proses pembayaran balik hak kewangan 40% iaitu Sabah mengutip terus dari sumber-sumber mungkin secara berkala setiap tiga bulan, atau membuat satu mekanisme berasaskan 40% seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
Sumber: FB Jeffrey G. Kitingan Page