Kerajaan Persekutuan tidak tunjuk komitmen ketara terhadap tuntutan 40% – Srikandi Bersatu Sabah

Nabila-Norsahar.jpg

Nabila Norsahar

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ketua Srikandi Muda Bersatu Negeri Sabah, Nabila Norsahar menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Sabah meraih peruntukan melebihi RM 16 bilion yang dikatakan jauh lebih tinggi daripada 40% hasil bersih yang dituntut Sabah sebagai sangat mengecewakan.

Katanya, kenyataan itu juga menunjukkan tidak ada komitmen ketara yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan terhadap tuntutan 40% Sabah di bawah Perkara 112C dan 112D.

“Kenyataan sedemikian seolah mengetepikan hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Adalah amat mengelirukan untuk mengkategori peruntukan persekutuan kepada negeri-negeri sebagai peruntukan khas dibawah Perkara 112C dan kerana kedua-dua ini adalah berbeza,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, dalam Perlembagaan Persekutuan hanya Sabah dan Sarawak yang diberikan peruntukan khas selaras dengan Perkara 112C dan Seksyen 2 Bahagian IV Jadual Kesepuluh manakala negeri-negeri lain diberikan peruntukan biasa di bawah Perkara 109 Perlembagaan Persekutuan.

“Semakan (review) kepada peruntukan khas ini pula perlu dibuat berkala (interval) secara amnya 5 tahun berselang,” katanya.

Tambah beliau, di bawah Perkara 112C (1)(a) Perlembagaan Persekutuan, jelas menyatakan Persekutuan perlu menyerahkan kepada Sabah dan Sarawak bagi setiap tahun kewangan,peruntukan berdasarkan kepada pengiraan di Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

Manakala Perkara 112C (1)(b) pula menjelaskan bahawa Persekutuan perlu menyerahkan kepada Sabah dan Sarawak apa-apa hasil daripada cukai, fi dan perkara kena bayar (dues) dalam Bahagian V Jadual Kesepuluh Perlembagaan apa-apa yang dikutip, dilevi atau yang didapatkan (raised) dalam negeri Sabah atau Sarawak itu sendiri.

“Oleh itu, adalah sangat jelas bahawa kenyataan Perdana Menteri sebenarnya tidak mencerminkan keseluruhan pemberian yang patut diberikan kepada Sabah oleh Persekutuan.

“Pemberian di bawah 109 Perlembagaan diterima oleh setiap negeri namun peruntukan khas di bawah Perkara 112C adalah satu hak Sabah yang nilainya tidak boleh dicantum atau dikira bersama pemberian di bawah Perkara 109 Perlembagaan,” katanya lagi.

Justeru itu, tegas Nabila, Kerajaan Persekutuan perlu menunaikan hak Sabah ini pada masa sekarang dan bukan menyakinkan Sabah dengan komitmen yang mengelirukan.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top