Kerajaan Persekutuan Terima Pelantikan Wakil Sabah dan Sarawak Sebagai Ahli Lembaga Pengarah LHDNM

zafrul.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sarawak dan Sabah kini mempunyai wakil dalam Lembaga Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM), umum Menteri Kewangan, Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Dalam satu kenyataan kepada media, Zafrul memaklumkan Jemaah Menteri pada 30 September lalu telah meluluskan cadangan pindaan kepada Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) 1995 [Akta 533] supaya diperuntukkan seorang wakil Kerajaan Negeri Sabah dan seorang wakil Kerajaan Negeri Sarawak dalam keanggotaan lembaga pengarah LHDNM.

“Cadangan pindaan ini seterusnya akan dibentangkan ke Parlimen untuk kelulusan.

Katanya, kerajaan pada 1 September 2022 telahpun melantik calon Kerajaan Negeri Sabah ke Lembaga Pengarah LHDNM yang mengisi kekosongan ahli professional.

“Namun, cadangan pindaan yang dipersetujui Jemaah Menteri akan menginstitusikan wakil daripada Sabah dan Sarawak di dalam lembaga pengarah LHDNM, di samping membolehkan pelantikan wakil dalam kalangan penjawat awam Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak.

Pindaan Akta 533 jelasnya, merupakan tindakan Kerajaan Persekutuan untuk menyusuli permohonan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak yang dipersetujui semasa Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri.

Kerajaan katanya, percaya pelantikan wakil-wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak adalah selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan mengalu-alukan sumbangan idea dan kepakaran dari wakil Kerajaan Negeri berkaitan pentadbiran percukaian.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top