PETALING JAYA: Kerajaan persekutuan perlu menghormati keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Sabah dalam melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa pertama di negeri itu.
Ini termasuklah keputusan memberi kelonggaran sebahagian dari Prosedur Operasi Standard (SOP).
Bekas Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman dalam kenyataan berkata, meskipun terdapat kelonggaran, kerajaan juga perlu memastikan rakyat tetap mematuhi SOP seperti mana yang telah ditetapkan.
“Seperti yang sedia maklum, antara sektor yang dibenarkan beroperasi dalam PPN Fasa Pertama ini antaranya makan di dalam restoran, kedai makan dan restoran dalam premis hotel dan ini sudah tentu meningkatkan lagi ekonomi rakyat yang dalam kesukaran.
“Jika kita halang operasi seumpama ini, rakyat akan lebih terbeban dan sudah pasti kes bunuh diri terus meningkat serta ekonomi negara khususnya di Sabah juga akan terjejas,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Beliau yang juga bekas Menteri Luar berkata, jumlah kes penularan Covid-19 di Sabah masih di tahap sederhana dan masih boleh dikawal berbanding di Semenanjung yang mencatatkan sehingga empat angka kes harian.
“Tidak salah sekiranya Sabah berpendirian untuk melonggarkan sebahagian SOP bagi PPN Fasa Pertama ini kerana ia bukan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi,” katanya. -UTUSAN ONLINE