KOTA KINABALU: Sabah tidak mahu terus-menerus menerima bayaran interim dan bertegas untuk menyelesaikan isu geran khas hasil bersih 40%, kata Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.
The Star dalam laporannya semalam memetic Timbalan Ketua Menteri I itu berkata walaupun bayaran interim RM600 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk Sabah baru-baru ini adalah yang terbesar pernah diterima setakat ini, Sabah tidak mahu bergantung kepada pembayaran interim selama-lamanya.
“Kami akan terus mendesak resolusi mengenai pemberian khas 40% kerana ia adalah hak kami dan termaktub dalam Perlembagaan. Ini adalah syarat asas untuk membentuk Malaysia,” katanya pada sidang media kelmarin.
Kitingan menyatakan keyakinan bahawa kerajaan Madani akan menangani dan menyelesaikan perkara itu.
“Walaupun RM600 juta adalah peningkatan yang ketara berbanding pembayaran sebelumnya, menunjukkan penambahan dalam pembayaran interim, kami tidak mahu bergantung kepadanya selama-lamanya. Kami mahu penyelesaian muktamad,” tambahnya.
Kitingan adalah sebahagian daripada panel perbincangan semasa Mesyuarat Majlis Tindakan Perlaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) pada 12 Sept di Kota Kinabalu.
Dalam pertemuan itu, Anwar mengumumkan bahawa bayaran interim akan dinaikkan daripada RM300 juta kepada RM600 juta mulai tahun depan.
Kitingan berkata sementara semua isu berkaitan MA63 lain dibincangkan, tetapi tidak dengan isu pemberian 40%.
Menurutnya, beliau cuba mengutarakannya tetapi dinasihatkan supaya bersabar.
Untuk rekod Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memberitahu pemberita selepas menghadiri MTPMA63 pada 12 Sept bahawa sebanyak 11 tuntutan di bawah platform rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah berjaya diselesaikan.
Beliau berkata, tujuh tuntutan diselesaikan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiga semasa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri dan satu semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.